Rahsia Harimau Malaya Dalam Kocek Andik Vermansyah

Andik

Pemain skuad kebangsaan Indonesia, Andik Vermansyah mengakui amat mengetahui tentang kekuatan pasukan kebangsaan Malaysia yang akan dihadapinya.

Skuad Garuda akan melayan kunjungan pasukan Malaysia pada aksi pembukaan kumpulan G dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) pada Khamis ini.

Lima tahun berkelana di Malaysia selaku pemain import bersama pasukan Selangor dan Kedah, tidak dapat dinafikan pemain berusia 27 tahun itu tahu banyak perkara mengenai pasukan Malaysia terutama para pemain skuad kebangsaan yang pernah beraksi bersamanya dalam satu pasukan di atas padang.

Empat tahun menjadi pemain import Selangor, Andik pernah beraksi bersama Syahmi Safari, Farizal Marlias dan Adam Nor Azlin. Kemudian satu tahun di Kedah, rakan sepasukannya di sana adalah Ifwat Akmal, Akhyar Rashid dan Akram Mahinan.

“Saya tahu kekuatan pasukan Malaysia, tetapi pasti susah juga sekiranya kita [pemain Indonesia] tidak bekerjasama,” kata Andik kepada wartawan BolaSport.

“Mungkin saya boleh berikan serba sedikit mengenai kekuatan mereka, tetapi apa yang lebih penting, kita tetap perlu bekerjasama,” tambahnya lagi.

“Kalau tidak bekerjasama, maka sia-sia sahaja. Apatah lagi mereka [pasukan Malaysia] sangat kukuh dan bagus, malah melangkah ke perlawanan akhir Piala AFF [2018] yang lepas.”

Bekas pemain Persebaya Surabaya itu turut mendedahkan tentang kehebatan yang dimiliki Safawi Rashid serta mengingatkan rakan sepasukannya bahawa skuad Harimau Malaya mempunyai kualiti yang baik di semua posisi dari pemain utama sehinggalah pemain simpanan.

Selain Andik, terdapat tiga orang pemain skuad kebangsaan Indonesia yang mempunyai pengalaman beraksi di Liga Malaysia iaitu Saddil Ramdani yang masih bersama pasukan Pahang, Ferdinand Sinaga yang sempat bermain cuma lima perlawanan bersama Kelantan serta bekas pemain import Selangor, Evan Dimas.

Kredit foto: Kedah FA

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply