Rahimi Shatar: Ketepikan Rindu Demi Kebaikan Keluarga & Negara

Rahimi Shatar

Penjaga gol Pahang Rangers, Rahimi Shatar sudah hampir dua bulan terpisah dengan dua anak dan isteri, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Ditambah dengan tanggungjawab dan komitmennya sebagai anggota bomba dan barisan depan yang diamanahkan menjaga keselamatan awam di waktu kritikal ini, Rahimi berpendapat berjauhan adalah solusi terbaik buat sementara waktu.

Tetapi jauh di sudut hati, bapa mana tidak ingin peluk cium anak dan melihat si kecil membesar di depan mata.

Rahimi mengakui amat merindui dua cahaya matanya itu.

“Saya hantar isteri balik kampung (Pasir Putih) pada awal cuti sekolah bulan Mac. Masa tu kita tengah ‘prepare’ untuk first game MPFL (Malaysia Premier Futsal League) lawan Sarawak, jadi tak dapat ikut balik sekali dan rancang nak ambil balik selepas perlawanan lawan Kedah (20 Mac).

“Tetapi selepas perlawanan menentang Sarawak, FAM umum liga ditangguhkan, tak sempat balik ambil dah PKP pula jadi terkandas sampai ke sekarang dah dekat 7 minggu, dan dengan keadaan semasa mungkin kena tunggu lebih lama, tak tahu boleh beraya bersama atau tidak.”

“Tak dinafikan memang dah terlalu rindu dekat anak isteri, mak ayah kat kampung pun dah lama tak jumpa. Biasa paling tidak dua bulan sekali mesti balik jumpa mereka, tapi sebab bulan Mac hari tu memang padat dengan aktiviti pasukan serta komitmen kerja.”

“Apapun, saya perlu banyak bersabar, cuba positif fikir ini untuk kebaikan mereka, kebaikan orang ramai. Saya ikut arahan MKN (Majlis Keselamatan Negara) mengenai PKP, SOP, tak boleh rentas negeri.”

Antara tugasan Rahimi sebagai anggota Bomba ketika tempoh PKP ini.

“Semua ni untuk kebaikan, memang perancangan untuk balik ambil anak isteri itu ada, kalau saya dapat balik sekalipun, saya kena fikir apa jadi kalau saya adalah pembawa virus dengan kerja saya sebagai bomba terdedah kepada risiko.”

”Saya tidak boleh pentingkan diri, jadi demi keluarga dan orang ramai, saya anggap ini satu pengorbanan,” ujar Rahimi dengan nada sebak.

Rahimi juga sedar ramai lagi mengalami nasib sama sepertinya dan menasihatkan mereka agar terus bersabar dan banyakkan berdoa agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.

Bercerita mengenai tugasan sebagai anggota bomba tatkala PKP sudah memasuki fasa keempat, Rahimi berkata, “Jabatan Bomba di Kuantan pada setiap hari melakukan sanitasi di tempat-tempat hot spot. Ia sudah bermula sejak hujung Mac dan diteruskan pada Ramadhan. Sekarang ni terbaru untuk pemindahan pelajar, bank-bank, masjid, kaki lima, hari-hari terlibat dengan sanitasi.”

Rahimi kembali beraksi selepas bersara selepas tamat musim 2018.

Sebagai rekod, Rahimi Shatar merupakan produk Piala Presiden Kelantan dan turut pernah menyarung jersi kebangsaan.

Beliau telah mengumumkan persaraan sebagai pemain pada hujung 2018 dan kemudiannya dilantik sebagai jurulatih penjaga gol Pahang Rangers sejak 2019 namun terpaksa membuat ‘comeback’ pada tahun ini berikutan kecederaan dialami dua penjaga gol pasukan itu Afiq Abd Rahman dan Zainulzahin Sinuan.

Baca artikel lain dari kami mengenai Pahang Rangers:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram