R. Dinesh: Posisi Bek Kiri Tok Gajah Kini Terbuka Untuk Direbutnya

r dinesh pahang liga super 2020 latihan

Bek kiri Pahang, R. Dinesh berharap yang musim baharu Liga Super nanti akan memberi sinar baharu buat kariernya yang statik sebelum ini apabila dikekalkan terus bersama skuad Tok Gajah.

Di saat rakan-rakan sepasukan lain yang merupakan tonggak utama pasukan terpaksa angkat kaki meninggalkan pasukan, pemain berusia 22 tahun itu masih setia menanti peluangnya.

Musim 2020 adalah musim kelimanya bersama pasukan dan dalam tempoh empat tahun, R. Dinesh hanya membuat 23 penampilan bersama Pahang – satu statistik yang sedikit mengecewakan bagi pemain muda yang pernah dilabel bintang dalam pembikinan.

Namun, menurutnya, bukan mudah transisi daripada pemain muda kepada tahap pemain senior. R. Dinesh merupakan antara tonggak skuad muda negara yang berjaya membawa Malaysia melangkah ke peringkat suku akhir Kejohanan AFC B-16 pada tahun 2014.

Apabila Pahang telah melepaskan Zubir Azmi, R. Dinesh melihat itu adalah peluang keemasan buat dirinya untuk mula menempatkan diri dalam kesebelasan utama dalam saingan musim depan.

“Tahun lalu, saya telah menunjukkan prestasi yang cukup baik dalam kelayakan Kejohanan AFC B-23 tetapi untuk Sukan SEA Filipina baru-baru ini, prestasi saya di bawah tahap sebenar. Ia adalah satu peringatan buat saya,” jelasnya kepada The Star.

“Saya jadi lebih bersemangat untuk memperbaikinya dan tindakan pasukan mengekalkan saya menunjukkan mereka percaya dengan bebolehan saya,” tambahnya lagi sambil berkata ketika ini hanya Faisal Rosli adalah pesaingnya untuk merebut posisi bek kiri.

“Jelas sekali Faisal [Rosli] lebih berpengalaman, saya masih muda.

“Saya suka membantu pasukan ketika menyerang dan saya ada kelebihan dari segi kepantasan. Diharapkan kualiti ini membantu saya untuk dipilih ke dalam skuad utama pasukan,” jelasnya.

R. Dinesh percaya pada usia 22 tahun, beliau masih belum lagi terlambat untuk mengembalikan namanya ke dalam peta bola sepak Malaysia dan beliau juga tidak pernah berputus asa.

“Selama ini, saya tidak pernah berputus asa dan sentiasa cuba untuk mencapai potensi saya yang sebenar,” tambahnya lagi.

Dengan ketiadaan Zubir Azmi dan juga usia yang mencemburui Faisal Rosli, mungkin musim inilah masa buat R. Dinesh untuk tampil ke depan untuk menyerlahkan kemampuannya.

Kredit Foto: Pahang FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram