Quentin Cheng: Malang Sekali, Ini Bukan Penampilan Sulung Yang Diinginkan

Quentin Cheng Malaysia Sukan SEA 2019

Bukanlah pengenalan yang diinginkan oleh Quentin Cheng, pemain kacukan Malaysia-Australia untuk aksi pertamanya.

Hasratnya untuk mempamerkan aksi terbaik dan memikat para penyokong dan juga barisan kejurulatihan berkesudahan tragik apabila penampilan sulungnya bersama skuad B-22 berakhir dengan kekalahan 1-3 kepada kemboja di Sukan SEA 2019.

Selain itu, Malaysia turut ditunjukkan jalan keluar daripada saingan kali ini walaupun di atas kertas, Malaysia dijangka akan ke final sekali lagi, mengulangi pencapaian edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Quentin Cheng beraksi untuk tempoh 20 minit apabila dimasukkan untuk menggantikan Hadi Fayyadh pada minit ke-70 namun ketika itu, Harimau Muda sedang ketinggalan 3-0 kepada Kemboja.

Biarpun diturunkan sebagai pemain gantian dan aksi pertamanya, pemain kelahiran Australia itu berhasil meledak gol sulungnya dan gol saguhati buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

“Jurulatih meminta saya untuk kekal fokus dan mengikut disiplin di posisi saya. Dia juga menasihatkan saya untuk bersabar dan menanti peluang saya,” jelas pemain berusia 20 tahun itu sambil menjelaskan yang sasaran di kejohanan ini tidak tercapai.

“Ia tidak seperti apa yang kami harapkan [prestasi pasukan]. Kami telah sasarkan untuk melangkah ke pusingan seterusnya namun akhirnya kami yang disingkirkan,” tambahnya lagi.

Begitupun, baginya perjalanan skuad negara tidak akan berakhir dengan tragedi di Manila ini dan untuk tahun 2020, Quentin Cheng mengharapkan untuk tahun yang lebih baik buat dirinya di kelab dan juga untuk memecah masuk ke skuad Harimau Malaya.

“Malang sekali kejohanan pertama saya untuk Malaysia berakhir sebegini,” keluh pemain yang boleh beraksi di posisi bek sayap kanan dan sayap menyerang kanan itu kepada The Star.

Sepanjang bersama skuad Harimau Muda, pemain kelab Central Coast Mariners di Australia itu sudah rapat dengan beberapa pemain antaranya Damien Lim, R. Kogileswaran, R. Dinesh dan penjaga gol yang merupakan rakan sebilik, Haziq Nadzli.

“Saya mahu mendapat lebih banyak minit permainan untuk musim depan. Saya perlu tingkatkan kemampuan saya sebagai pemain.

“Impian saya adalah untuk bermain bersama skuad kebangsaan di masa hadapan,” ungkapnya sambil menjelaskan yang Sukan SEA ini telah mengajarnya untuk menjadi pemain yang lebih baik.

Kredit Featured Image: FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram