Qatar Airways Pilih Inter Miami

Kelab bola sepak milik legenda bola sepak dunia, David Beckham iaitu Inter Miami dilaporkan telah menerima rakan penaja baharu untuk mengharungi saingan Major League Soccer (MLS) pada musim akan datang.

SOCCEREX sebelum ini melaporkan Inter Miami menerima tajaan bernilai £180 juta, dan nama Qatar Airways dikatakan akan dipampang di bahagian dada jersi dan cenderahati pasukan.

Malah beberapa akhbar di Sepanyol dan UK pula mendedahkan jersi Inter Miami yang terpampang nama Qatar Airways yang kini sudah mulai tular di atas talian.

Qatar adalah tuan rumah kejohanan Piala Dunia 2022 dan merupakan entiti yang tidak asing di dalam bola sepak.

Selain Inter Miami, Qatar melalui jenama syarikat penerbangan negara tersebut, Qatar Airways pernah tampil sebagai penaja beberapa buah pasukan bola sepak utama dunia yang lain.

Antara kelab bola sepak yang pernah mendapat tajaan oleh Qatar Airways adalah AS Roma, Barcelona, Boca Juniors dan juga Bayern Munich.

Pada November tahun lalu, syarikat penerbangan tersebut turut memeterai perjanjian sebagai penaja kepada Liga Bola Sepak Filipina.

Tajaan Qatar Airways di dalam bola sepak Filipina termasuk penggunaan logo pada setiap jersi pasukan bertanding di saingan domestik negara tersebut.

Berbeza dengan tajaan oleh Qatar Airways di Inter Miami, tajaan di Filipina bertujuan untuk memperluaskan jenama ‘Qatar’ itu sendiri di rantau ini.

Langkah Qatar Airways tampil sebagai penaja kepada Inter Miami bukan perkara menghairankan jika mengambil kira pemiliknya, David Beckham sebagai ikon global bola sepak dunia.

Menurut laporan The Athletics, perbincangan diantara Beckham dengan pihak Qatar Airways sudah pun bermula sejak awal tahun 2016 yang lalu.

Malah bekas pemain tengah Manchester United, Real Madrid dan Milan itu turut berada di Doha pada awal Januari lalu untuk memuktamadkan pernjian tersebut.

Beckham sendiri bukanlah watak asing kepada Qatar apabila pernah beraksi bersama Paris Saint-Germain (PSG) – kelab yang dimiliki oleh Qatar Sports Investments pada 2013.

Qatar Airways adalah syarikat penerbangan antarabangsa yang terbang ke 150 buah destinasi merangkumi Afrika, Asia, Eropah, Amerika, dan Oceania.

Syarikat penerbangan tersebut berpengkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha.

Di Malaysia, Qatar Airways turut terbang terus ke beberapa destinasi seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Terbaru, syarikat penerbangan gergasi dunia itu turut terbang terus ke Langkawi bermula pada 15 Oktober tahun lalu.

Tajaan di dalam sukan khususnya bola sepak oleh Qatar Airways memberi refleksi kepada nilai sukan dan pengertiannya dalam menyatukan setiap dari kita, sesuai dengan mesej yang digunakan oleh syarikat tersebut – “Going Places Together.”

Malah jika ada mana-mana persatuan atau badan sukan yang berminat untuk mendapatkan tajaan, anda boleh berbuat demikian dengan menghantar kertas kerja melalui pautan di sini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram