Punca Manchester United, Chelsea Tarik Diri Buru Nathan Ake

nathan-ake-ole-gunnar-solskjaer-bournemouth-manchester-united-2019-20

Nathan Ake juga berada dalam radar Manchester United dan Chelsea untuk kukuhkan benteng, tetapi mereka hanya membiarkan Manchester City mendapatkannya.

Mengapa kedua-dua kelab tersebut memilih untuk menarik diri pula sedangkan memang keperluan pasukan memiliki pertahanan baharu? Pengurus sehebat Pep Guardiola pula meneruskan untuk mendapatkan tandatangan pertahanan tersebut.

Nathan Ake tidak cukup fizikal

Dalam aksi Manchester United menewaskan Bournemouth 5-2 pada awal Julai lalu, kamera telah merakam detik pengendali, Ole Gunnar Solskjaer bercakap dengan Nathan Ake yang mencetus persoalan, adakah beliau akan menyertai The Red Devils?

Menurut laporan The Athelic, mereka akhirnya menarik diri daripada pemburuan pertahanan tengah itu disebabkan fizikalnya yang tidak menepati kehendak pasukan terutamanya Solskjaer selain gaya permainannya lebih kepada jenis ball-playing.

Ia menepati kehendak The Citizens, tetapi tidak kepada Manchester United. Pertahanan berusia 25 tahun itu dilihat berada pada kemuncak kariernya dan kurang mengalami kecederaan, namun satu aspek tersebut yang menjadi batu penghalangnya.

Nathan Ake tidak cukup dominan di udara – berketinggian 5 kaki 11 inci. Beliau dilihat sangat pantas tetapi lemah ketika bola berada di udara. Daripada 60 pertahanan di Premier League, beliau berkedudukan ke-58 untuk kadar berjaya duel di udara.

Mungkin sebab Chris Smalling?

Manchester United memerlukan pertahanan yang lebih fizikal untuk bergandingan bersama Harry Maguire. Jika menyertai mereka, beliau akan menyertai Phil Jones selaku pertahanan terendah yang dimiliki pasukan dan itu melemahkan mereka.

Mungkinkah kepulangan pertahanan yang dipinjamkan ke AS Roma, Chris Smalling dilihat akan membantu membaiki semula kepincangan pertahanan mereka? The Red Devils amat mahu beliau kembali di saat Roma bertegas mahu melanjutkan pinjaman.

Dalam sidang media beberapa hari lalu ketika ditanyakan tentang Smalling, Solskjaer dilihat berkata, “Saya rasa Chris [Smalling] telah pamerkan yang mengapa beliau sangat berharga buat Man United sepanjang kariernya bersama pasukan.”

“Musim ini beliau memerlukan masa permainan, pergi ke Roma dan buktikan beliau adalah pertahanan tengah yang bagus. Kini beliau telah kembali dan telah menunjukkan betapa beliau sangat berharga [pada musim hadapan],” tambahnya lagi.

Perlu kembali rebut tempat

Tindakan Solskjaer meminjamkan Smalling ke saingan Serie A membantu pertahanan tengah tersebut mendapat minit perlawanan yang mancukupi. Beliau telah tampil sebanyak 37 kali secara keseluruhannya bersama skuad Paulo Fonseca.

Di Old Trafford pula, Solskjaer mahu memberi lebih peluang buat tiga pertahanan membarisi skuad utama. “Saya mahu memberi lebih ruang kepada Harry [Maguire], Vic [Victor Lindelof] dan mungkin Axel [Tuanzebe] musim ini,” tegasnya.

Jadi, dengan aksi mantapnya ketika menyarung jersi Roma telah membantu memberi pilihan buat pengendali tersebut untuk saingan musim hadapan, sekiranya The Red Devils tidak mendapatkan sesiapa di jendela perpindahan ketika ini.

Kegagalan Roma untuk mendapatkan Smalling membuktikan yang Solskjaer sangat mahukan pemain tersebut untuk kembali merebut tempat di Manchester United.

Penutup

Chelsea turut dikatakan menarik diri daripada persaingan merebut tandatangan Nathan Ake atas faktor yang sama – kurang fizikal. Mungkin ianya hanya sesuai dengan kehendak dan gaya permainan di Manchester City, bukan untuk mereka.

Solskjaer juga mungkin lega dengan kepulangan Smalling dan tidak dinafikan aksi baiknya bersama Roma diharapkan atas dimanfaatkan mereka untuk saingan musim hadapan sekiranya Solskjaer tidak mendapatkan mana-mana pemain.

KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES

Baca lagi artikel mengenai Nathan Ake:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply