PUMA Beri Penghormatan Buat Industri & Budaya Manchester Pada Jersi Baharu The Cityzens

Manchester City

Juara Liga Perdana Inggeris 2018/19, Manchester City dan penaja baharu, PUMA telah mendedahkan jersi ‘Home’ dan ‘Away’ mereka semalam bagi menghadapi saingan liga musim baharu pada Ogos nanti.

Difahamkan reka bentuk pertama jersi hasil kerjasama dua-dua pihak ini telah memberikan penghormatan kepada warisan industri dan budaya Manchester.

Berikutan kejayaan skuad utama, wanita serta akademi Manchester City pada musim lalu, kelab ini melangkah ke musim baharu dengan bergaya hasil reka bentuk jersi yang unik dan turut dilengkapi logo khas yang menandakan ulangtahun ke-125 The Cityzens.

Jersi ‘Home’ tampil dengan inspirasi daripada warisan industri Manchester, meraikan kejayaan, perjuangan dan watak yang muncul dari kilang kapas di Manchester.

Seperti yang diketahui, pada abad ke-18, Manchester merupakan bandar yang cukup terkenal dengan perusahaan industri tekstil kapas.

Biru muda yang menjadi warna ikonik buat Manchester City telah digandingkan dengan warna ungu. Kombinasi ini adalah yang pertama kali buat jersi ‘Home’ kelab tersebut.

Manakala bagi jersi ‘Away’ pula, ia meraikan tahun ‘Madchester’, yang merupakan satu tempoh aktiviti kebudayaan luar biasa pada lewat 80an dan awal tahun 1990.

Jersi ini secara langsung diilhamkan daripada bekas kelab malam, The Hacienda. Hacienda adalah pusat dimana muzik, band, DJ dan artis berkumpul.

Menggunakan hitam sebagai warna asas pada jersi, kit ini disertakan dengan jalur kuning pada bahu sebelah kiri. Ia menjadi rujukan kepada ikonik identiti The Hacienda.

Mengulas mengenai jersi Manchester City ini, Pengarah Pemasaran Jenama Global PUMA, Adam Petrick mahu kerjasama kedua-dua entiti terkenal dunia tersebut turut dirasai seluruh penduduk Manchester.

”Kerjasama antara Manchester City dan PUMA melebihi sempadan bola sepak. Kami mahu peminat global kelab dan penduduk tempatan Mancunians untuk merasakan impak pelaburan ini.”

”Dan ia bermula dengan menggabungkan rekaan kreatif pada reka bentuk jersi sejajar dengan cerita asli dan sejarah Manchester dan senario muzik di sini.”

”Kami mahu membawa inisiatif jenama Manchester City dan PUMA bersama-sama apabila dan di mana sahaja kami mampu, dan ia membawa makna yang lebih meluas, ke dalam bidang bola sepak yang lebih meluas seperti permainan, komuniti, fesyen dan muzik.”

”Begitulah cara kami boleh memberikan impak kepada peminat bola sepak dari peringkat umur dan demografi.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram