Pulau Pinang Akan Jumpa Pemain Dan Staf Berhubung Isu Potong Gaji

Pulau Pinang Kuching FA Liga Premier 2020

Disebalik pandangan Presiden Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali yang tidak bersetuju dengan kaedah pemotongan gaji pemain ketika ini, Pulau Pinang pula sedang serius mempertimbangkannya.

Sebelum ini, Kelantan dikatakan turut mempertimbangkan perkara yang sama disamping mengharapkan akan ada bantuan ketika saat sukar sebegini.

Atas alasan untuk mengelakkan kantung kewangan mereka yang semakin meruncing ketika Liga Malaysia ditangguhkan akibat penularan pandemik COVID-19 ini, Pulau Pinang sedang memikirkan kaedah pemotongan gaji yang bersesuaian.

Bercakap kepada Stadium Astro, pengurus pasukan, Ong Eng Hua menjelaskan tiada hasil daripada kutipan tiket di stadium sepanjang aksi liga tertangguh dan ia telah menjejaskan kedudukan kewangan pasukan Harimau Kumbang ketika ini.

Pulau Pinang sedang melalui permulaan musim yang baik dalam empat aksi Liga Premier, menang dua aksi dan seri dalam dua lagi aksi dan menduduki kedudukan ketiga liga – di belakang Terengganu FC II dan Kelantan United.

Mereka hanya ketinggalan empat mata di belakang Terengganu FC II yang berada di takhta liga dan hanya satu mata di belakang Kelantan United.

Pulau Pinang juga sedang meneruskan 14 aksi tanpa kalah dalam saingan Liga Premier sejak diambil alih oleh Manzoor Azwira pada pertengahan musim lalu.

“Kami meminta jasa baik pemain untuk membincangkan hasrat memotong gaji mereka, tetapi ini semua bergantung kepada [hasil perbincangan] Liga Bolasepak Malaysia [MFL], Persatuan Bolasepak Malaysia [FAM] dan PFAM.

“Bukannya bergantung kepada satu pihak sahaja [pemotongan gaji]. Mungkin FAM mahu merujuk kepada Persekutuan Bolasepak Dunia [FIFA],” tegas Ong Eng Hua.

“Mungkin pemotongannya berbeza sedikit di antara pemain yang bergaji lebih dan kurang RM10,000. Lagipun mereka hanya menjalani latihan ringan di rumah,” tambahnya sambil memaklumkan akan ada perjumpaan dengan pemain dan staf.

Ong Eng Hua turut mengharapkan akan ada mekanisme dan peraturan yang akan diketengahkan oleh semua pihak terlibat agar tiada pihak yang terjejas akhirnya.

“Mesti ada keseragaman peraturan kerana kami perlu bersikap adil kepada pihak pemain dan majikan,” ujar Ong Eng Hua lagi yang sebelum ini merupakan Naib Presiden NTFA FA yang pernah bersaing di Liga Malaysia beberapa tahun lalu.

KREDIT FEATURED IMAGE: FA PENANG

Baca juga artikel kami yang lain mengenai gaji pemain:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram