PSSI Larang Pemain Indonesia Menyertai Pasukan Liga Malaysia

Minggu lepas, perpindahan 2 tonggak skuad Indonesia Bawah 23 Tahun ke pasukan Selangor, Evan Dimas Dan Ilham Udin dikritik hebat oleh Ketua Umum PSSI (Presiden) Edy Rahmayadi yang melabelkan 2 pemain tu sebagai tidak patriotik dan mata duitan.

Hal ini menyebabkan pasukan Kuala Lumpur tidak dapat menandatangani seorang lagi pemain Indonesia Achmad Jufrianto dari Persib Bandung kerana tidak mendapat restu daripada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).

“Pemain itu sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai Kuala Lumpur tetapi dia tidak dapat persetujuan daripada PSSI. Tetapi dia masih berusaha untuk selesaikan masalah ini agar dapat menyertai kami musim depan,” kata Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan kepada News Straits Times

Bintang Persib Bandung, Achmad Jufriyanto dikhabarkan berminat untuk menyertai Kuala Lumpur. FOTO: 1x goal.com

Adnan menjelaskan pihaknya memang sengaja mencari pemain import dari Indonesia kerana mereka tiada masalah dengan corak permainan dan budaya liga Malaysia.

“Ramai pekerja warga Indonesia tinggal di Lembah Klang. Jadi, kehadiran pemain dari Indonesia akan dapat menarik kehadiran lebih ramai penyokong ke stadium untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan Kuala Lumpur,” jelas Adnan.

Presiden PSSI, Edy Rahmayadi tidak mahu pemain Indonesia menyertai mana-mana pasukan Liga Malaysia kerana bimbang corak permainan tonggak skuad kebangsaan Indonesia mudah dibaca dan dikaji oleh jurulatih skuad kebangsaan Malaysia.

Evan Dimas dan Ilham Udin merupakan pemain utama skuad Indonesia bawah 23 Tahun yang dipersiapkan untuk menghadapi saingan Sukan Asia tahun depan.

Edy juga melahirkan kebimbangan kemungkinan pasukan Selangor tidak akan melepaskan pemain mereka ke latihan pusat skuad kebangsaan Indonesia untuk menghadapi temasya itu.

Oleh kerana itu, PSSI menggesakan agar Evan dan Ilham membatalkan kontrak dengan pasukan Selangor bagi membolehkan pemain itu menyarung jersi pasukan Indonesia pada bila-bila masa walaupun di luar kalendar FIFA.

Presiden Selangor FA, Datuk Seri Subahan Kamal menafikan Selangor tidak akan melepaskan pemainnya ke latihan pusat skuad kebangsaan negara tersebut.

“Pembatalan kontrak itu tidak akan terjadi karana kami sudah menandatangani kontrak dengan kedua pemain itu dan pembayaran sudah dilakukan. Kedua pemain itu akan bersama kami dan menjalani latihan pada 22 Disember ini,” jelas Subahan.

Selain itu, Subahan juga mengaku tidak terganggu dengan kritikan yang dilontarkan oleh Edy Rahmayadi. Presiden Selangor FA itu menegaskan bahawa pasukannya sudah memiliki sejarah panjang dengan menandatangani pemain Indonesia, seperti Bambang Pamungkas, Elie Aiboy, dan Andik Vermansah.

“Dia boleh bercakap apa sahaja. Bagaimana dia boleh mengatakan bermain di luar negara dan mencari rezeki disebut sebagai tidak patriotik ? Selangor selalu memiliki pemain dari Indonesia. Selain itu Selangor selalu yakin karana kami memiliki kontrak yang sah dengan para pemain,” tegasnya.

Evan Dimas ketika mewakili skuad B-17 Indonesia. Foto: ANTARA/M Risyal Hidayat

Sementara itu, Evan Dimas yakin pasukan Selangor akan melepaskannya jika dipanggil ke latihan pusat skuad kebangsaan Indonesia,

“Saya yakin Selangor akan membebaskan kami untuk tugasan pasukan kebangsaan,” kata Evan Dimas.

Ilham Udin pula sudah siap sedia jika mendapat panggilan dari negaranya.

“Mengenai kritikan presiden PSSI, saya tidak mahu komen. Apa yang pasti, saya sentiasa bersedia jika dipanggil ke latihan pusat pasukan Indonesia,” jelasnya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram