PSM Perjelas Konsert BTS, Mahu SNBJ Setaraf Stadium Wembley Di England

Langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menganjurkan konsert kumpulan muzik terkenal Korea Selatan iaitu Bantan Boys (BTS) mendapat reaksi pelbagai pihak di dalam negara.

Tatkala ia mendapat sambutan yang baik di kalangan peminat K-Pop di dalam negara, langkah KBS melalui Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) turut dipersoalkan oleh beberapa pihak khususnya di kalangan penggiat seni tanah air dan orang politik yang mempunyai pandangan tersendiri di dalam isu ini.

Namun demikian, Radzi Tajuddin yang merupakan seorang Ahli Lembaga Pengarah PSM tampil memberikan penjelasan melalui entri yang dimuatnaik di akaun Facebook beliau.

Melalui entri tersebut, Radzi turut mengesahkan beliau merupakan salah seorang individu yang terlibat dalam usaha membawa BTS ke Malaysia.

Mengapa PSM dan KBS terlibat?

Pertamanya, beliau menjelaskan mengapa KBS yang sepatutnya memberikan fokus kepada kemajuan sukan di dalam negara mengalihkan fokus kepada konsert bertaraf mega.

Di dalam penjelasan tersebut, Radzi berkata sebab utama KBS berbuat demikian ialah kerana kementerian itu adalah pemilik ‘venue’ terbesar di Malaysia iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil serta Axiata Arena (dan beberapa venue lain)

PSM atau Perbadanan Stadium Malaysia pula adalah agensi di bawah KBS yang diamanahkan menjaga dan memajukan aset-aset tersebut.

Radzi turut mengesahkan rundingan dan pertemuan bersama ejen dan promoter (Live Nation) telah bermula sejak Disember 2018 di Seoul, London dan Kuala Lumpur – namun kedatangan BTS ke Malaysia belum lagi dimuktamadkan sehingga pertemuan terakhir yang akan diadakan di Los Angeles.

Serampang tiga mata

Penganjuran konsert mega seperti BTS dilihat sebagai serampang tiga mata buat PSM dan juga KBS.

Pertama, ianya bertujuan untuk menaikkan imej Malaysia sebagai destinasi hiburan dan acara antarabangsa. Perkara ini sedikit sebanyak disebabkan beberapa perkara seperti kecenderungan negara ini membatalkan acara pada saat akhir, proses permohonan yang rumit dan cukai hiburan yang sangat tinggi- menyebabkan Malaysia sering digugurkan dari kalendar acara antarabangsa meskipun Singapura, Thailand dan Indonesia dimasukkan.

Melalui entri yang sama, Radzi turut menjelaskan langkah memanggil BTS adalah salah satu langkah untuk menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) setaraf stadium-stadium utama di dunia, khususnya Stadium Wembley.

Sekiranya Malaysia bercita-cita menjadi destinasi pelancongan utama, sesuatu perlu dilakukan bagi memulihkan imej dan jenama Malaysia terlebih dahulu – terutama dalam penganjuran acara antarabangsa.

Jimat wang cukai rakyat

Sebab kedua, penganjuran konsert mega diadakan ialah untuk PSM mengisi kantung mereka sendiri supaya tidak perlu bergantung kepada geran kerajaan yang datang dari duit cukai rakyat.

Menurut Radzi lagi, PSM merekodkan kerugian sehingga RM24.71 juta dalam prestasi kewangan 2016 dan 2017, dan hanya mencatatkan keuntungan sebanyak RM279,000 dalam laporan kewangan 2018.

Oleh itu, membawa masuk BTS adalah keputusan yang strategik. Ini samalah dengan keputusan PSM melobi konsert Ed Sheeran yang diadakan di Stadium Nasional berbanding Axiata Arena.

Konsert Ed Sheraan di Kuala Lumpur dianggap satu kejayaan.

Hasilnya 41,000 penonton hadir dan merupakan konsert berbayar terbesar dalam sejarah Malaysia dan PSM mendapat pulangan terus dari segi sewaan tempat, suite korporat, jualan tiket, parking dan tapak niaga.

Pulangan tidak langsung pula melalui kesan hiliran ekonomi kepada pengendali logistik, pengusaha hotel, vendor pengurusan acara, jurutera audio, staff lapangan sehinggalah kepada peniaga food truck di luar stadium.

Jadikan SNBJ setaraf Wembley

Mengadakan konsert untuk menjana pendapatan sebenarnya bukan perkara yang asing bagi stadium-stadium utama dunia di dunia.

Stadium Wembley di England menjadi venue konsert BTS pada 1-2 Jun ini. Ia diikuti oleh konsert kumpulan pop British terkenal satu ketika dahulu, Spice Girls selama tiga hari, yang akan berlangsung dari 13-16 Jun.

Sepanjang Jun 2019, 13 konsert dijadualkan akan berlangsung di Stadium Wembley termasuk konsert kumpulan legenda The Eagles dan juga Bon Jovi.

Dalam entri tersebut, Radzi turut menjelaskan mengapa BTS yang mempunyai status sebagai artis paling dikehendaki di dunia menjadi pilihan PSM untuk dibawa ke Malaysia.

Rumusan

Ini bermakna stadium bukan sahaja boleh dijadikan sebagai arena dan gelanggang bola sepak serta sukan-sukan lain. Ia juga boleh dijadikan venue bagi acara-acara antarabangsa yang lain seperti konsert.

Hasil dari pendapatan tersebut, turut boleh digunakan untuk menaiktaraf dan penyelenggaraan fasiliti, dan kemudahan lain di stadium – sekaligus menjadikan PSM sebagai organisasi yang lebih terurus dan mampu berdiri dengan kaki sendiri di masa hadapan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram