PSG Setuju Bayar RM275 Juta Untuk ‘Ikat’ Mauro Icardi Secara Tetap

Kerjasama Semuanya BOLA

Mauro Icardi

Sky Italy melaporkan Inter Milan telah bersetuju untuk melepaskan Mauro Icardi secara tetap kepada Paris Saint-Germain (PSG) dengan yuran perpindahan bernilai €57 juta (RM275 juta).

Pasukan yang baharu ditabalkan sebagai juara Ligue 1 itu dikehendaki membayar yuran perpindahan €50 juta (RM241 juta) dengan €7 juta (RM33 juta) sebagai bonus tambahan untuk pemain berusia 27 tahun itu.

Rundingan tersebut akhirnya selesai memandangkan pilihan untuk pembelian secara tetap yang terkandung dalam kontrak pinjaman pemain Argentina itu akan tamat pada 31 Mei ini.

Icardi sememangnya mahu perpindahan ke ibu kota Perancis itu dimuktamadkan kerana beliau tidak mahu kembali ke Itali kerana jelas tidak lagi diperlukan sejak ketibaan Antonio Conte di Inter Milan.

Malah beliau dilihat sangat serasi di PSG di mana beliau telah menjaringkan 20 gol dalam 31 perlawanan dalam semua pertandingan pada musim ini sebelum Ligue 1 ditamatkan pada April ekoran  pandemik COVID-19.

Namun beliau masih mempunyai peluang untuk meneruskan rekod cemerlang dalam musim pertamanya di Paris kerana masih boleh beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Coupe de France dan Coupe de la Ligue.

Sementara itu, Inter Milan bersedia untuk menandatangani Edinson Cavani secara percuma pada musim panas ini sebagai persiapan sekiranya mereka kehilangan Lautaro Martinez yang menjadi sasaran utama Barcelona.

Cavani yang akan tamat kontrak bersama PSG tidak lama lagi bebas untuk berunding dengan mana-mana pasukan dan beliau juga dikatakan menjadi sasaran Atletico Madrid dan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dengan impak kewangan yang melanda semua pasukan ketika ini, mendapatkan pemain berprofil tinggi secara percuma tentunya merupakan pilihan terbaik.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Mauro Icardi dan PSG:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram