Projek Naturalisasi: Malaysia Terperangkap Antara Fantasi Dan Realiti?

Malaysia UAE Harimau Malaya Naturalisasi

Saya terlepas peluang menonton siaran langsung Malaysia vs UAE pada 4 Jun 2021 yang lalu.  Saya hanya menonton siaran rakaman di siang hari pada tarikh yang sama. Saya terkhilaf menghitung tarikh dan masa, yakni sangkaan jadual perlawanan pada Jumaat malam Sabtu!

Biasanya, saya terasa amat menyesal terlepas peluang melihat aksi pasukan negara secara langsung tapi tidak seberapa kali ini. Pertamanya, Malaysia tumpas dengan jaringan yang agak besar – semacam tanpa melawan. Kedua, memang saya sudah lama tidak boleh berjaga malam dan tidak cukup tidur. Ia akan mengambil masa hingga seminggu untuk saya ‘recover‘ kesan kurang tidur.

Berbalik kepada perlawanan Malaysia menentang UAE, saya dapati sudah banyak komen-komen yang diberikan oleh pelbagai pihak. Sama ada komen-komen rasmi melalui media-media rasmi mahu pun komen-komen tak rasmi dalam media sosial dari netizen. Tidak kurang juga komen-komen ‘nakal’ yang mencuit hati, malah ada juga bersifat provokasi yang menonjolkan amarah diri!

Di sini saya ingin membawa kepada satu sudut yang kecil tapi agak significant juga kalau diambil kira. Ya! Saya kira dalam merencanakan percaturan, Malaysia terperangkap antara fantasi dan realiti!

Mungkin percaturan fizikal permain perlu ditampilkan? Mungkin percaturan perang psikologi juga perlu dijuarai? Kita sedar, realiti di atas kertas UAE lebih jauh meninggalkan Malaysia dari segi ranking. Kita jua sedar, secara realiti fizikal pemain dan corak permainan UAE banyak kelebihan berbanding kita.

Beberapa hari sebelum perlawanan, kita juga disajikan dengan satu berita gembira – Dion Cools seorang pemain professional yang berpengkalan di Eropah menyertai skuad negara. Berbulan sebelum itu, kita juga gembira mendengar pengkhabaran beberapa pemain naturalisasi seperti Guilherme De Paula Lucrecio dan Liridon Krasniqi bersama skuad kebangsaan dalam sesi latihan persediaan.

Ya! Secara motivasinya memang ia memberi semangat kepada negara. Ya! Ia juga memberi tonik baru kepada peminat dan menambah darjah ke tahap tertinggi menaruh harapan kepada pasukan negara.

Sebelum ini iaitu semasa pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 ini, Malaysia hampir berjaya mengimbangi UAE denga kalah tipis 1-2 di tempat sendiri. Penampilan Malaysia, mungkin semua orang bersetuju juga jauh lebih baik dari penampilan semasa Malaysia kalah 0–4 kepada UAE baru-baru ini.

Logiknya, setelah kita diperkuatkan dengan beberapa kemasukan pemain naturalisasi dan juga pemain kacukan, sepatutnya impaknya boleh diterjemah dengan realiti. Paling tidak, jika kalah ia merupakan kekalahan tipis seperti di Bukit Jalil tempohari. Malah, kemungkinan seri dengan mengambil kira bermain di tempat mereka.

Kalau menang, wow! Hebat impak pemain naturalisasi kita!. Seingat saya, di Bukit Jalil hanya ada Mohamadou Sumareh sahaja sebagai pemain naturalisasi. Cuma ada pemain kacukan seperti Matthew Davies, La’vere Corbin-Ong dan Brendan Gan dan impaknya jelas kelihatan ketika itu.

Nampaknya, dalam konteks sejarah iaitu perspektif selepas perkara terjadi, boleh disimpulkan adunan skuad negara di Bukit Jalil berbanding adunan di Zabeel lebih menyerlah.

Persefahaman, keserasian dan semangat juang boleh dilihat mengelilingi setiap pemain sebagai satu pasukan. Teamwork setiap department seperti pertahanan, tengah dan serangan ada glue yang seakan mengikat dan mencorak satu tektikal yang boleh diharapkan.

Teringat saya kepada Tony Cottee, nama yang cukup besar di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan juga lagenda West Ham United (rekod 100 gol) bermain untuk Selagor pada tahun 1996, tetapi beliau tidak dapat keserasian dengan corak, gaya dan kemahiran pemain tempatan dan akhirnya meninggalkan Selangor tanpa lakaran sejarah.

Bagi saya, kisah Cottee ada dua kemungkinan terjadi. Pertama mungkin beliau berada diakhir kerjaya dan kemahirannya. Kedua adalah tahap atau kelas serta kemahiran bola sepak kita pada masa itu tidak sama pada tahap dan jangkaan beliau. Jadi beliau tidak boleh menyesuaikan diri dengan gaya dan corak permainan kerana gaya dan corak permainan beliau lebih tinggi. Saya lebih cenderung kepada faktor yang kedua ini.

Berbalik kepada pasukan negara, percaturan berkenaan kesebelasan utama adalah satu keputusan yang paling sukar. Ia membabitkan situasi dilema dalam menangani sistem kepercayaan tertentu.

Antara fantasi dan realiti sentiasa bergilir ganti dalam membuat keputusan. Fantasi sentiasa dipengaruhi oleh harapan dan tanggapan yang diyakini terjadi. Realiti pula sentiasa dipengaruhi oleh krisis kepercayaan semasa sama ada boleh lagi terjadi.

Keputusan perlawanan menentang UAE baru-baru ini, adalah fantasi mengharapkan ‘awang-awang import’ berjaya mengubah harapan menjadi realiti. Bagaimana pun, mereka tiada glue yang boleh mengikat keseluruhan pasukan. Di barisan mid-field, glue itu langsung tiada. Barisan ini tidak menjadi glue kepada barisan pertahanan dan serangan. Liridon semacam tidak ada chemistry dengan Azam Azih dan Syamer Kutty Abba.

Tidak seperti di Bukit Jalil, Azam Aziz, Brendan Gan dan Syamer  berjaya menjadi glue kepada barisan pertahanan dan serangan. De Paula juga dilihat tercari-cari rentak di posisi serangan. Ia seakan-akan tidak banyak kelebihan bagi menggantikan Syafiq Ahmad. Lencana di dada nampaknya lebih berat jika berada di dada Syafiq Ahmad!

Tanpa menafikan kebolehan ‘awang-awang import’ ini, dari sudut realiitinya, mereka tiada keserasian dalam kesebelasan utama negara.  Realitinya juga, mereka amat baru bersama pasukan negara serta sukar dalam secret recipe pasukan Malaysia. Inilah satu dilema dan juga menjadi krisis kepercayaan yang mungkin dihadapi oleh barisan kejurulatihan dalam membuat keputusan adunan yang mana yang terbaik.

Dilema antara andaian-andaian bahawa pemain naturalisasi memberi impak kepada keseluruhan teamwork pasukan. Juga, kemungkinan ada krisis kepercayaan terhadap pemain-pemain tempatan, mahupun kacukan yang sedia ada yang sudah lama berganding dan serasi untuk diberi kepercayaan membawa lencana negara.

Pada 12 Jun 2021 ini, saya harap tidak terkhilaf lagi. Kali ini kalau saya terlepas lagi menonton siaran langsung Malaysia melawan Vietnam, keesokan harinya, pastikan saya menyesal!

Bangkitlah Harimau Malaya! Realitinya, ranking mereka di atas kertas lebih tinggi. Teamwork dan kemahiran individu mereka juga hebat. Gaya dan corak permainan mereka lebih tersusun dan pantas. Ini semua realiti yang ada pada mereka. Tapi kita juga ada ‘realiti’ tersendiri! Timbang-timbanglah realiti itu. Jangan lagi Malaysia terperangkap antara fantasi dan realiti!

A. Seman, adalah peminat sejati Harimau Malaya sejak 80-an. Tulisan ini padangan peribadi sebagai pemerhati dan peminat bola sepak. Ini adalah julung-julung kali beliau berpeluang memberi padangan secara bertulis. Biasanya pandangan-pandangan beliau hadir dan berlalu bergitu sahaja di kedai-kedai kopi.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan:

Kalah Kepada UAE, Pemain-Pemain Kacukan Harimau Malaya Akhirnya ‘Bersuara’

Pernah Tuduh Tan Cheng Hoe Intip Pasukan, Park Hang-seo Terus Paranoid Taktik Licik Sendiri

TMJ Tak Tahu Mengapa Tan Cheng Hoe Pilih Ramai Pemain JDT

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN