Quantcast

LIGA MALAYSIA

Previu MSL 2019: Selangor Mahu Perbaiki Kedudukan Liga Super, Kuala Lumpur Idam Tiga Mata

Pertembungan derbi lembah klang diantara Selangor menentang Kuala Lumpur kembali lagi di Stadium Shah Alam dan kali ini ia dijangka lebih sengit kerana saingan Liga Super sudah hampir ke penghujungnya.

Malah, skuad gergasi merah yang kini menghuni di tangga kelima Liga Super dengan 22 mata berpeluang berada dalam kedudukan tiga teratas jika mereka menewaskan Kuala Lumpur malam ini.

Namun begitu, pasukan bimbingan Choong Yee Fatt enggan memberikan laluan mudah kepada Selangor kerana mereka juga memerlukan tiga mata penuh untuk mengelakkan risiko berada dalam zon penyingkiran ke Liga Premier musim depan.

Rufino

FOTO: FA Selangor.

Selangor waspada terhadap ancaman Kuala Lumpur

Ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan mahu pemainnya melupakan seketika sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana mereka masih mempunyai tugasan yang lebih mencabar selepas ini.

Mereka telah melakukan persiapan rapi sehingga pemain terpaksa bercuti dalam tempoh singkat untuk memastikan tahap kecergasan sentiasa terjaga.

Justeru itu, Satiananthan menyifatkan cabaran menentang Kuala Lumpur bukan mudah walaupun anak buahnya mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Kami kembali ke padang latihan bagi mempersiapkan pasukan kerana Kuala Lumpur bukan lawan mudah terutama selepas diambil alih oleh Chong Yee Fatt.

“Tambahan pula sejak beliau membimbing Kuala Lumpur mereka berjaya mencatat beberapa kemenangan hingga berjaya keluar daripada zon penyingkiran yang menandakan bahawa mereka sudah jauh meningkat daripada sebelumnya.

“Pemain perlu lupakan seketika sambutan perayaan demi memastikan fokus diberikan kepada saingan liga dan misi memburu kedudukan tiga terbaik liga berjaya dilaksanakan,” katanya dalam Harian Metro.

FOTO: FA Selangor

Kuala Lumpur mahu teruskan rentak kemenangan

Kejayaan menewaskan PKNP FC, 4-1 bulan lepas memberi semangat tambahan kepada skuad warga kota untuk terus memburu tiga mata penuh dalam baki 7 perlawanan yang akan datang.

Meskipun sudah keluar daripada zon penyingkiran ke Liga Premier 2020, jurulatih Kuala Lumpur, Choong Yee Fatt, gusar momentum barisan pemainnya terganggu ekoran rehat panjang hampir tiga minggu daripada aksi kompetitif.

The City Boys kini di kedudukan ke-10 Liga Super dengan dibezakan hanya satu mata dengan PKNP FC yang berada di zon penyingkiran, justeru hal itu tidak cukup untuk Yee Fatt berasa selesa.

“Kedudukan enam pasukan terbawah tidak jauh bezanya, khususnya melibatkan tiga pasukan tercorot.

“Ia memberi kelegaan besar buat saya dan saya harap usaha itu tidak terhenti setakat ini sahaja.

“Pemain perlu teruskan perjuangan dan meraih mata yang mencukupi untuk kekal dalam Liga Super,” katanya dalam Stadium Astro.

Beliau berharap tempoh rehat panjang tidak mempengaruhi rentak cemerlang anak buahnya selepas mereka mempamerkan rentak positif dalam lima aksi terakhir melibatkan saingan Liga Super dan Piala FA yang lalu.

“Saya harap kami mampu mencipta banyak kemenangan di tempat sendiri musim ini,” tambahnya.

Ramalan Semuanya BOLA

Walaupun Selangor menewaskan Kuala Lumpur, 3-1 pada pertemuan pertama musim ini bulan Mac lepas, namun skuad warga kota kali ini dibarisi oleh barisan pemain yang berbeza.

Perlawanan derbi lembah klang, sentiasa akan menjadi sengit dan perlawanan berlangsung dalam suasana yang penuh kontroversi sepanjang 90 minit ditambah pula banter antara penyokong. Itulah yang mejadikan derbi sebagai satu perkara yang ada kepuasan tersendiri dalam bola sepak.

Untuk perlawanan malam ini, penulis meramalkan kedua-dua pasukan akan terikat 1-1 atau 2-2 bergantung kepada sejauh mana kebijaksanaan mereka menyempurnakan peluang yang terhidang di depan gawang. Pasukan yang kurang melakukan kesilapan, akan muncul sebagai pemenang.

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.

Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan sedutan perlawanan minggu-minggu sebelumnya. Teruskan setia bersama kami di Semuanya BOLA!