Previu MSL 2019: PKNS FC Perlu Segera Bangkit, Kedah Buru Kelompok Tiga Teratas

Kedah

Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) yang tewas mengejut pada aksi Liga Super 2019 tempoh hari bakal menanti kunjungan Kedah di Stadium Shah Alam, malam ini.

Saingan liga yang sudah memasuki perlawanan ke-17 itu menyaksikan PKNS FC kini menghuni tangga kelapan dengan 19 mata manakala Kedah mengutip 23 mata mengintai peluang untuk kembali ke tangga ketiga selepas kedudukan mereka dipintas Selangor.

Keputusan seri tanpa jaringan menentang Pahang pada Jumaat lalu memberikan peluang buat Selangor untuk memintas kedudukan ketiga selepas skuad bimbingan B. Satiananthan itu menang 2-1 ketika bertemu Kuala Lumpur.

PKNS FC mahu bangkit dari lamunan

Malang menimpa skuad semut merah setelah dikejutkan pasukan tangga terbawah, Felda United 4-5 di Jengka walaupun mereka cuba untuk bangkit melawan selepas ketinggalan 1-5.

Pemain import, Gabriel Guerra pasti individu paling hampa selepas sepakan penalti yang diambilnya berjaya dinafikan Norazlan Razali.

Ternyata masalah utama PKNS FC musim ini adalah mereka bergelut untuk mempamerkan konsistensi walaupun memiliki pasukan yang berkualiti.

Datuk K Rajagobal ketika mengulas aksi bertemu Felda United turut meluahkan kekecewaan berikutan aksi tidak konsisten anak buahnya terutamanya pada babak kedua.

“Bagi saya, aksi pada babak kedua jelas menunjukkan pemain gagal beraksi dengan baik hingga dibolosi empat gol walaupun kami cuba bangkit, namun ia sudah terlambat,” ujar ketua jurulatih PKNS FC itu bercakap kepada Harian Metro.

Kedudukan tiga teratas masih relevan buat Kedah

Terikat tanpa jaringan di laman sendiri ketika bertemu Pahang bukanlah pencapaian yang harus dibanggakan Kedah, namun berjaya meraih mata bertemu pasukan di tangga kedua liga adalah satu keputusan positif.

Kedah juga kini masih lagi di landasan terbaik untuk menamatkan saingan musim ini di kelompok tiga pasukan teratas apabila hanya dua mata memisahkan kedudukan dengan Selangor manakala ditinggalkan empat mata oleh Pahang.

Pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak pasti gembira setelah tiga pemain yang terpaksa diketepikan minggu lalu iaitu Jonatan Bauman, Rizal Ghazali dan Azmeer Yusof akan kembali bersama pasukan malam ini.

Dengan barisan pemain yang lengkap, Aidil mempunyai ramuan secukupnya bagi merintis kemenangan ketujuh buat Kedah musim ini.

Fernando Rodriguez & Kpah Sherman

Seperti kebiasaan, pemain penyerang import semestinya akan menjadi tumpuan dan sandaran bagi mencari jaringan pada setiap perlawanan.

Kpah Sherman

Kpah Sherman dan Fernando Rodriguez dilihat mampu untuk menjelmakan sesuatu di Stadium Shah Alam malam ini sekaligus menjadi duri dalam daging buat lawan masing-masing.

Kpah telah menghasilkan sembilan jaringan dalam saingan Liga Super 2019 manakala Fernando Rodriguez pula dengan enam gol berjaya dihasilkan.

Fernando Rodriguez

Ramalan Semuanya BOLA

Walaupun turun sebagai pasukan pelawat, Kedah memiliki sedikit kelebihan apabila turun dengan skuad lengkap seperti yang dinyatakan sendiri oleh Aidil ketika sidang media selepas perlawanan bertemu Pahang.

Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Stadium Shah Alam pada peringkat suku akhir Shopee Piala FA, bulan Mei lalu juga memihak Kedah dengan keputusan 3-1.

Tambahan pula PKNS FC bakal menurunkan penjaga gol ketiga, Farhan Abu Bakar selepas dua penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin dan Tauffiq Ar Rasyid Johar terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Bagaimanapun PKNS FC sudah pasti mahu bangkit dari kekecewaan di Jengka sekaligus memperbaiki kedudukan mereka setakat ini.

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.

Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan sedutan perlawanan minggu-minggu sebelumnya. Teruskan setia bersama kami di Semuanya BOLA!

Kredit foto: PKNS FC & Kedah FA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN