Previu MSL 2019: PKNS FC Enggan Terus Putih Mata, Sang Phoenix Buru Kesempurnaan

Dua lagi perlawanan akan berlangsung pada malam ini untuk minggu ke-15 Liga Super Malaysia (MSL 2019). Salah satu tumpuan kita pasti akan beralih ke Shah Alam untuk perlawanan diantara dua pasukan setempat, PKNS FC vs PJ City FC.

PKNS FC tidak rela putih mata

Ia bukan bulan Mei yang baik untuk skuad Semut Merah dalam saingan MSL 2019 setakat ini. Tiga perlawanan yang dilalui sepanjang Mei ini menyaksikan skuad kendalian Datuk K. Rajagopal belum lagi merekodkan sebarang kemenangan.

Seri 3-3 menentang Perak di Shah Alam pada 3 Mei lalu, PKNS FC kemudiannya dikejutkan oleh Kuala Lumpur 2-1 di Cheras sebelum turut tewas dengan jaringan yang sama kepada pendahulu liga JDT pada saingan minggu lalu.

FOTO: PKNS FC

Pernah berada sebagai lima pasukan terbaik saingan pada pusingan pertama MSL 2019, keputusan tanpa kemenangan ini menyebabkan PKNS FC kini menghuni kedudukan ke-9 liga. Perlawanan pada malam ini dilihat sebagai perlawanan wajib menang buat koloni skuad merah untuk memastikan mereka kembali bersaing.

PJ City FC buru kesempurnaan

Kejayaan mengejutkan Pahang 2-0 di halaman sendiri, kebangkitan luar biasa untuk menewaskan Terengganu 5-3 diikuti dengan kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur pula adalah kisah Sang Phoenix sepanjang bulan Mei ini.

Sembilan mata maksimum setakat ini, anak buah K. Devan pastinya mahu rentak cemerlang ini berterusan untuk memastikan PJ City berjaya kekal di saingan tertinggi bola sepak negara pada musim sulung mereka.

FOTO: PJ City FC

Segalanya seba menjadi buat PJ City FC setakat ini. Namun demikian mereka harus waspada dan tidak membenarkan keyakinan diri itu menghukum mereka jika mahu mendapatkan sesuatu dari perlawanan ini. Jika PJ City FC mampu menang pada malam ini, ini bermakna anak buah K.Devan merekodkan 100% kemenangan sepanjang bulan Mei ini.

Perkembangan pasukan

PKNS FC dilaporkan berada pada tahap terbaik dan tidak memiliki sebarang isu kecederaan menjelang perlawanan ini. Ini bermakna Datuk K. Rajagopal berpeluang untuk menurunkan kesebelasan utama terbaik beliau pada malam ini.

Penyerang import, Kpah Sherman pasti akan terus menjadi tumpuan. Begitu juga kelibat Romel Morales sudah menjaringkan 6 gol untuk skuad Semut Merah pada musim ini.

Foto: PKNS FC

PJ City FC pula pasti terus menharapkan kecemerlangan trio samba mereka untuk mendapatkan sesuatu pada malam ini. Setakat ini, penampilan Brandao, Serginho dan Elizeu wajar diberi pujian.

Kerajinan Ban Beom-Geun dan R.Barathkumar di bahagian tengah juga turut akan teruji dalam perlawanan ini dalam menggerakkan jentera tengah. Skuad kendalian K.Devan harus bijak menyempurnakan peluang dimiliki sekiranya mahu membawa pulang sesuatu dari perlawanan ini.

FOTO: PJ City

Rekod pertemuan

PJ City FC merekodkan kemenangan 1-0 ke atas PKNS FC di pusingan pertama MSL 2019 yang berlangsung di Stadium MBPJ pada 30 Mac lalu. Berikut adalah prestasi semasa kedua-dua pasukan sejak lima perlawanan lalu.

Sumber: ESPN

Ramalan Semuanya BOLA

Berdasarkan pertemuan sebelum ini yang berkesudahan hanya dengan satu jaringan, kami turut meramalkan perlawanan pada malam ini tidak akan melibatkan jaringan yang banyak.

Kemenangan boleh berpihak kepada mana-mana pasukan dengan kelebihan jaringan yang tipis. Keputusan perlawanan juga mungkin akan berakhir dengan seri.

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.

Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram