Quantcast

LIGA MALAYSIA

Previu MSL 2019: PKNP Enggan Beri Laluan Mudah Kepada JDT

Setelah hampir tiga minggu saingan Liga Malaysia direhatkan, malam ini peminat bola sepak tempatan kembali disajikan dengan pertembungan menarik di antara kelab bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dengan juara bertahan liga super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium MP Manjung.

Selepas mengharungi 15 perlawanan, skuad Harimau Selatan terus unggul di persada liga super dengan 39 mata dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah manakala PKNP FC kini bergelut di zon penyingkiran ke Liga Premier musim depan dengan berbekalkan 12 mata.

Abu Bakar beri amaran awal

Meskipun kekuatan diantara PKNP dengan JDT bagaikan langit dengan bumi, namun pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, memberi amaran awal bahawa pasukan tuan rumah itu akan memberikan tentangan habis-habisan kepada pelawat.

“Memang kami tiada peluang dalam perlawanan ini. JDT berada dalam kelas tersendiri tetapi kami tetap akan mencuba sedaya-upaya untuk memberikan saingan kepada mereka.

“Jikapun hendak kalah, biarlah dengan cara melawan,” katanya dalam Stadium Astro.

Beliau juga mengingatkan benteng pertahanan supaya tidak melakukan kesilapan mudah kerana musim ini menyaksikan mereka bolos sebanyak 30 kali dalam 15 perlawanan Liga Super.

“Kami sering terpaksa beraksi tanpa tonggak benteng kerana kecederaan dan penggantungan hingga menjejaskan persembahan pasukan.

“Puratanya (bolos) dua gol satu perlawanan. Jadi, saya berharap semua itu berakhir dalam baki tujuh perlawanan kerana saya perlukan barisan terkuat dalam setiap perlawanan,” katanya.

Abu Bakar yakin anak buahnya akan bangkit dalam baki perlawanan yang akan datang untuk menyelamatkan pasukan itu daripada tersingkir ke Liga Premier 2020.

JDT tetap buru tiga mata penuh

Pengurus JDT, Luciano Figueroa mahu pasukannya terus konsisten mengutip tiga mata penuh dalam baki 7 perlawanan liga super supaya kejuaraan Liga Super buat kali keenam berada dalam genggaman.

Jika JDT berjaya mengatasi PKNP FC, baki tiga perlawanan iaitu menentang Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Rabu ini disusuli aksi menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, 26 Jun dan pertembungan di Ipoh berdepan Perak pada 7 Julai akan memastikan pasukan itu menjulang kejuaraan liga buat kali keenam berturut-turut jika mencatat kemenangan.

Bagaimanapun, Figueroa tidak mahu pemainnya memandang mudah kepada pasukan lawan kerana masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh mereka dari segi ‘set piece’.

“Kami tidak boleh terlalu selesa dengan apa jua pencapaian sekarang sebaliknya sentiasa perlu meningkatkan lagi kualiti permainan terutama `set-piece’ yang tampak kurang tajam dan harus diperkemaskan lagi.

“Tidak kira sama ada pasukan lawan berada di kelompok atas atau bawahan, mereka boleh beri ancaman kepada kita jika kita bersikap sambil lewa dan anggaplah setiap perlawanan yang dihadapi ibarat aksi final,” katanya dalam Harian Metro

Ramalan Semuanya BOLA

Sudah pasti JDT merupakan pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini tetapi tidak mustahil anak buah Abu Bakar Fadzim melakar kejutan jika mereka berjaya mengambil kesempatan terhadap kelekaan benteng pertahanan JDT.

Ini adalah kunjungan pertama JDT ke Stadium Manjung, penduduk di sekitar kawasan itu pasti tidak mahu lepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan ini dan memberi sokongan padu kepada pasukan PKNP FC.

Pasukan yang kurang melakukan kesilapan, berpeluang cerah untuk muncul sebagai pemenang malam ini.