Previu MSL 2019: Lupakan Pentas Asia, Perak Mahu Tambah Luka Felda United

Perak

Perak yang baru sahaja memperoleh ‘pengalaman berharga’ dalam saingan Asia di Ulsan, Korea Selatan akan meneruskan kempen unifi Liga Super Malaysia 2019 berdepan Felda United di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Keputusan perlawanan malam ini penting buat kedua-dua pasukan terutamanya bagi Perak dalam usaha menjarakkan diri daripada kelompok bawahan.

Perak yang baru beraksi dalam dua perlawanan kini di tangga ke-10 dengan satu mata manakala Felda United di tempat ke-8 dengan dua mata diraih.

Kesebelasan utama Perak ketika bertemu Ulsan Hyundai. Foto: Perak TBG

Pentas terbaik buru kemenangan sulung

Skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu masih belum menikmati sebarang kemenangan dalam saingan liga selepas tumpas 0-1 ketika bertemu Johor Darul Ta’zim dan terikat 1-1 pada perlawanan bertemu Kedah di Ipoh.

Aksi ketiga yang sepatutnya bertemu Kuala Lumpur tempoh hari diberikan penangguhan oleh Malaysian Football League (MFL) selepas Perak layak ke pusingan ketiga Kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2019.

Felda United yang kembali dinaikkan pangkat pada musim ini ke saingan Liga Super mencatatkan keputusan seri 1-1 pada dua aksi awal bertemu Selangor dan PKNP FC.

Namun, perlawanan bertemu Kedah pada 16 Februari lalu wajar dilupakan segera oleh Hadin Azman dan rakan sepasukan apabila mereka kecundang 0-4 di Stadium Darul Aman.

Aksi malam ini jelas bakal menjadi pentas terbaik buat kedua-dua pasukan dalam mencari kemenangan sulung.

Impak Firdaus Saiyadi & Hadin Azman

Kebiasaannya pemain import akan menjadi perhatian dalam satu-satu perlawanan, namun pada perlawanan malam ini kelibat Firdaus Saiyadi dan Hadin Azman mampu untuk mencuri tumpuan.

Melihatkan kepada keyakinan yang ditampilkan Firdaus pada perlawanan bertemu Ulsan Hyundai tempoh hari, beliau dijangka dapat meneruskan aksi bertenaga malam ini.

Kelincahan serta kemahiran individu yang dimiliki pemain berusia 22 tahun itu mampu untuk memporak-perandakan jentera pertahanan Felda United.

Firdaus Saiyadi dijangka terus pamer aksi bertenaga. Foto: Perak TBG

Bagi Hadin Azman, beliau dua kali berjaya menyelamatkan Felda United dari menerima kekalahan pada dua aksi awal bertemu Selangor dan PKNP FC.

Merupakan pemain lincah di bahagian sayap, kelibat kapten Felda United ini perlu diberikan tumpuan khusus pertahanan Perak yang diketuai Shahrul Mohd Saad.

Bek kanan Selangor, Azreen Zulkafali mengawal pergerakan Hadin Azman ketika menentang Felda United di Stadium Shah Alam. (Foto: asiana.my/FA Selangor)

Taktikal pasukan

Mungkin tidak sukar untuk melihat formasi serta barisan pemain yang akan diturunkan oleh Mehmed Durakovic pada perlawanan malam ini.

Beliau yang gemar menggunakan pemain yang sama sudah pasti akan meletakkan harapan kepada Gilmar Jose Da Silva Filho selaku ‘target man’ serta Wander Luiz Bitencourt Junior memainkan peranan pemain nombor 10.

Leandro Dos Santos serta Brendan Gan atau Kenny Pallraj diletakkan di jentera tengah.

Nidzam Jamil pula dijangka akan terus mempraktikkan formasi 4-3-3.

Dengan kehadiran S. Chanturu dan Hadin Azman di bahagian sayap, ia merupakan kaedah yang sesuai untuk menembusi jentera pertahanan Perak.

Kepulangan yang dinantikan

Di samping penyokong Perak mengharapkan kemenangan sulung buat skuad Yob, mereka pasti teruja untuk menanti kehadiran bekas pemain import sanjungan mereka, Thiago Aquino yang beraksi buat Felda United.

Pemain pertahanan kental berusia 34 tahun itu pernah beraksi bersama Perak selama tiga musim bermula tahun 2015. Semangat juang tinggi dipamerkan ketika beraksi menjadikannya sebagai antara pemain yang disayangi para penyokong Perak.

Terdapat tiga lagi bekas pemain Perak yang akan kembali ke Ipoh malam ini menggalas tanggungjawab bersama Felda United iaitu Raffi Nagoorgani, Jasazrin Jamaludin dan S. Chanturu.

Ramalan Semuanya BOLA

Di atas kertas memperlihatkan Perak memiliki peluang yang lebih cerah untuk muncul sebagai pemenang pada perlawanan malam ini.

Aksi yang masih kurang konsisten dipamerkan Felda United, kelebihan Perak yang beraksi di laman sendiri serta mendapat pendedahan yang cukup berguna di Korea Selatan, penulis melihat ‘Yob’ berkelebihan untuk menewaskan skuad muda bimbingan Nidzam Jamil.

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun. Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN