Previu MSL 2019: Kedah Buru Posisi Terbaik, PJ City FC Mahu Tamatkan Misi

Pada hari ini tumpuan peminat bola sepak tempatan juga akan tertumpu ke utara di Stadium Darul Aman, khusus untuk perlawanan membabitkan pasukan tuan rumah, Kedah FA yang menanti kunjungan Petaling Jaya FC.

Apakah yang perlu kita tahu mengenai perlawanan ini?

Kedah buru posisi terbaik

Kedah kini dalam misi memperkukuhkan kedudukan di kalangan kelompok atasan liga – tatkala gelaran naib juara Liga Super Malaysia 2019 masih lagi terbuka.

Skuad Lang merah kini terikat mata bersama Melaka United, dan dua mata di belakang Selangor yang berada di tangga ke-3. Kemenangan akan melonjakkan skuad bimbingan Aidil Sharin ke tangga ke-3, untuk mendekatkan jarak kepada dua mata berbanding Pahang yang kini berada di tangga kedua.

FOTO: KFA

Berita baik buat Aidil ialah kepulangan Fernando Rodriguez. Pemain dari Sepanyol itu menjaringkan gol penting ketika Kedah menewaskan Felda United di separuh akhir pertama Piala FA minggu lalu.

PJ City mahu hadirkan kejutan

Bagi PJ City, kemenangan bermakna mereka hampir berjaya dengan misi di awal musim iaitu untuk terus kekal di saingan MSL pada percubaan pertama mereka. Skuad K. Devan kini dibezakan dengan enam mata dari zon penyingkiran, dan kemenangan hampir pasti menyelamatkan mereka pada musim ini.

FOTO: PJ City FC

Satu-satunya perkara yang mungkin merisaukan K. Devan menjelang perlawanan menentang Kedah ialah sentuhan penyerang import, Pedro Henrique dan Washington yang gagal menemui sentuhan penyudah sejak empat perlawanan lalu.

Taktikal pasukan

Skuad kendalian Aidil Sharin kebiasaannya akan turun dengan sistem dua pivot dalam formasi 4-2-3-1. Jonathan Bauman akan terus memainkan peranan sebagai penyerang kedua kepada Rodirguez, tatkala pemain muda lain seperti Fadzrul Danel dan Mohamad Fayadh dijangka akan memainkan peranan dalam perlawanan malam ini tatkala tumpuan Kedah juga terarah ke saingan separuh akhir kedua Piala FA Ahad hadapan.

Aidil Sharin
Foto: KFA

K. Devan mempunyai reputasi sebagai ‘the giant killer’ ketika melakukan percaturan berhadapan dengan pasukan-pasukan gergasi di saingan Liga Malaysia. 3-4-3 adalah formasi pilihan K. Devan sejak beberapa perlawanan dan telah berjaya meraih beberapa keputusan positif sejak dua perlawanan lalu.

Devan
Gambar: Malaysia Football League
Di fasa bertahan, anak buah K. Devan akan membentuk 5-4-1. Dalam situasi ini, PJ City amat berbahaya ketika melakukan serangan balas pantas – sepertimana yang dibuktikan ketika menentang Pahang. Mereka pantas dan sangat direct untuk menhantar bole ke bahagian serangan.

Rekod pertemuan

Berikut adalah rekod pertemuan kedua-dua pasukan menjelang perlawanan pada malam ini.

  • 16.04.2019 Kedah 2-0 Petaling Jaya City (Piala FA)
  • 22.02.2019 Petaling Jaya City 0-2 Kedah (Liga Super)
  • 26.08.2018 Petaling Jaya City 2-2 Kedah (Piala Malaysia)
  • 18.082018 Kedah 3-2 Petaling Jaya City (Piala Malaysia)

Ramalan Semuanya BOLA

Berdasarkan pertemuan sebelum ini, PJ FC nyata melalui perlawanan sukar setiap kali bertemu Kedah. Tewas tiga dan seri satu bukanlah rekod yang boleh dibanggakan buat PJ City yang akan berkunjung ke arena lawan.

Namun tatkala tumpuan Kedah mungkin lebih terarah kepada saingan Piala FA, siapa tahu kejutan akan berlaku dalam perlawanan ini. K. Devan dan PJ City FC juga memiliki rekod untuk menewaskan pasukan-pasukan yang lebih besar sepanjang musim ini.

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.

Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram