Previu MSL 2019: De Paula vs Muhaimin Antara Tarikan Pertembungan KL & PJ City

Memasuki minggu ke-10 saingan Liga Super Malaysia (MSL) 2019, perlawanan antara dua pasukan yang sedang bergelut di dasar liga ini pasti kurang menjadi tarikan kepada pemerhati bola sepak – Kuala Lumpur menanti kunjungan PJ City FC di Cheras.

Ini kerana, perlawanan-perlawanan lain pada minggu ini bakal mempertemukan pasukan-pasukan atasan selain kemungkinan dihidangkan aksi menarik pasukan pencabar kejuaraan liga.

Kedua-dua pasukan yang terletak di Ibu Negara Malaysia, Kuala Lumpur ini hanya dipisahkan jarak sekitar 20 kilometer dan 30 minit perjalanan daripada Petaling Jaya ke Kuala Lumpur.

Apa yang dapat kita perkatakan mengenai pertembungan antara kedua-dua pasukan ini? Ayuh kita selosori previu berikut.

Kuala Lumpur mahu kekal konsisten

Melangkah ke suku akhir Shopee Piala FA tahun kedua berturut-turut pasti tonik berharga buat skuad kendalian Chong Yee Fatt apabila berdepan dengan PJ City pada malam ini. Selain itu, mereka juga kekal tanpa kalah dalam dua aksi terkini liga.

Mereka juga berjaya mengejutkan pencabar kejuaraan liga, Kedah pada aksi minggu ke-8 yang lalu – menang 2-1 di laman sendiri. Berdepan PJ City yang hanya dipisahkan 4 mata pasti menjanjikan saingan sengit untuk keluar dari zon penyingkiran.

Dengan tiada masalah besar dalam senarai pemain dengan kembalinya Guilherme de Paula, Yee Fatt melaungkan keyakinan untuk kebangkitan semula Kuala Lumpur dalam saingan liga.

Chong Yee Fat FOTO: KLFA

 

Peluang buat PJ City bangkit

Ramai pihak mengaitkan PJ City sebagai kelahiran semula MPPJ FC, gergasi sementara bola sepak tanah air sekitar tahun 2002 hingga 2006 – warna utama kedua-duanya juga hampir sama iaitu biru.

Begitupun, kelihatan masih jauh lagi langkah buat PJ City dalam mengharungi liku perjalanan liga apabila kini berada di kedudukan ke-10 dengan hanya 2 kemenangan diraih dalam 9 aksi, tidak jauh dengan pencabar di zon penyingkiran dan juga pertengahan liga.

Kegagalan dalam saingan Piala FA pasti akan memberi ruang buat mereka memberi fokus kepada saingan liga yang bakal memasuki pusingan kedua nanti. Moral ketika tewas tipis kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu dibawa untuk aksi ini.

FOTO: PJ City FC

Guilherme de Paula dan Muhaimin Mohamad

Kembalinya penyerang sensasi Kuala Lumpur, Guilherme de Paula seakan-akan memberi nyawa semula buat skuad Warga Kota ketika ini. Indra Putra juga pastinya lega mendapat semula gandingannya ini dan ini menambah bisa sentuhan mereka di jentera serangan.

De Paula meledak tiga gol selepas kembali daripada kecederaan – dua daripada dalam saingan Piala FA ketika menyingkirkan Pulau Pinang di pusingan ketiga tempohari. Aksinya yang penuh agresif dan bersemangat pasti akan ‘menyeramkan’ PJ City.

de Paula, Kuala Lumpur, Kedah
FOTO: KLFA

Suatu yang perlu difikirkan Kuala Lumpur adalah tembok terakhir PJ City, Muhaimin Mohamad yang boleh dikatakan mempamerkan aksi memuaskan setakat ini. Walaupun pasukan berada di kelompok bawahan liga, mereka kurang merekodkan bolos.

Dengan purata 1.2 bolos liga, ia merupakan antara yang terbaik dalam saingan musim ini, malah 4 pasukan yang di atas mereka merekodkan bolos lebih daripada PJ City – terbanyak pastinya Selangor dengan 17 bolos dalam 9 perlawanan.

FOTO: PJ City FC

Rekod 5 perlawanan terkini MSL 2019

Kuala Lumpur (K-K-K-M-S)

  • Kalah 0-2 v Melaka United (A)
  • Kalah 2-3 v Selangor (H)
  • Kalah 0-4 v PKNP FC (A)
  • Menang 2-1 v Kedah (H)
  • Seri 1-1 v Felda United (A)

PJ City FC (K-K-M-S-K)

  • Kalah 0-1 v Felda United (A)
  • Kalah 0-1 v Perak (A)
  • Menang 1-0 v PKNS FC (H)
  • Seri 1-1 v Pahang (A)
  • Kalah 0-1 v JDT (H)

Ramalan Semuanya BOLA

Kembalinya de Paula memberikan harapan baharu buat skuad Warga Kota. Ini kerana, seperti yang kita ketahui pemain tengah, Paulo Josue memiliki kualiti hantaran yang baik dan keserasian mereka bersama Indra Putra menambah bisa Kuala Lumpur.

Sementara PJ City pula mempertaruhkan disiplin bertahan yang baik dengan purata bolos yang rendah disamping aksi baik penjaga gawang, Muhaimin Mohamad. Mereka hanya tewas tipis kepada beberapa pencabar kejuaraan liga iaitu Pahang dan JDT.

Ini menjanjikan pertarungan yang menarik antara kedua-dua pasukan ini. Dengan liga hampir memasuki pertengahan musim, kedua-dua pasukan pastinya mahu memperbaiki kedudukan dan mata sebelum pusingan kedua berlangsung.

Pasukan mana yang jadi pilihan pembaca? Atau adakah kedua-dua pasukan bakal terikat dengan keputusan seri?

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun. Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN