Previu MSL 2018: Terengganu Lihat Peluang Lebarkan Rekod Tanpa Menang Melaka United

Gah selepas menumbangkan Perak 2-0 di halaman sendiri pada 3 hari lepas, Terengganu kini berada di puncak keyakinan tertinggi menjelang pertemuan menentang Melaka United. Bagi Melaka United pula, perkara inilah yang sememangnya mahu dielak mereka pada ketika ini.

Dalam aksi perlawanan unifi Liga Super 2018 ke-11 yang berlangsung awal minggu ini, Melaka United dipaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika melayan kunjungan PKNS.

Tetapi jika ada satu perkara yang boleh memberi sebab Melaka United untuk berasa optimistik menjelang pertemuan sukar esok adalah, persembahan mereka menjadi bertambah baik selepas pembukaan jendela perpindahan pemain kedua.

Prestasi semasa

Tewas kepada 1-3 kepada Pahang dan 2-3 kepada Perak dalam aksi unifi Liga Super 2018 pada awal bulan Mei lepas, Terengganu berjaya memperbetulkan keadaan serta-merta dengan menewaskan kedua-dua pasukan ini dalam masa 2 minggu seterusnya. Terengganu menang 1-0 menentang Pahang pada minggu lepas, diikuti dengan kemenangan 2-0 menentang Perak pada Selasa lepas.

Kipre Tchetche (dua dari kiri) menjaringkan 2 gol untuk menewaskan Perak 2-0 dalam aksi Liga Super 2018 pada 22 Mei lepas. (Sumber: Terengganu Football Club)

2 kemenangan terbaru ini membolehkan Terengganu menamatkan rentetan tanpa kemenangan 3 perlawanan mereka – sekaligus merapatkan jurang mata dengan pasukan tangga kedua liga, Perak.

Bercakap mengenai rentetan tanpa kemenangan, Melaka United mempunyai sebab untuk berasa risau esok memandangkan mereka kini sudah 6 perlawanan berrut-turut tanpa kemenangan. Kali terakhir mereka mengecapi kemenangan adalah ketika menewaskan PKNP 2-0 dalam aksi unifi Super League 2018 pada 11 Mac lepas.

Meskipun begitu, persembahan Melaka United menjadi bertambah baik sejak 2 perlawanan lepas apabila jendela perpindahan pemain kedua dibuka. Jika sebelum ini mereka tewas 5 perlawanan berturut-turut, dalam 2 perlawanan lepas mereka seri.

Dan perlu diingat, keputusan 2 seri ini dicapai ketika menentang PKNS dan Perak – dua pasukan yang kuat pada musim ini.

Rekod pertemuan

Ketika aksi liga yang menemukan kedua-dua pasukan ini di Stadium Hang Jebat, Melaka United tumbang mudah 0-3 kepada Terengganu. 2 gol Kipre Tchetche dan 1 gol Lee Tuck menghukum jentera serangan Melaka United yang banyak mensia-siakan peluang di depan gol.

Berdasarkan rekod 5 pertemuan lepas antara kedua-dua pasukan ini, ia seimbang. Terengganu memenangi 3 pertemuan, manakala Melaka pula 2. Menariknya berdasarkan rekod pertemuan ini, Melaka United tak pernah memenangi pertemuan ini di halaman Terengganu – rekod yang berlanjutan sejak 2004!

Sebelum wisel

Jika diteliti rekod Melaka United di halaman lawan pada musim ini, jelas Terengganu merupakan pilihan utama dalam perlawanan ini. Tambahan pula dengan prestasi semasa Terengganu yang lebih baik, Melaka United memerlukan lebih dari sekadar usaha dan kerja keras untuk mencuri 3 mata pulang. Mereka memerlukan nasib.

Masih belum mencatat sebarang kemenangan di sebarang halaman lawan pada musim ini dan hanya mampu mengutip 1 mata daripada 5 perlawanan away, Melaka United memerlukan satu lagi persembahan ajaib daripada pemain baru mereka, Khairul Fahmi Che Mat.

Ini adalah untuk sekurang-kurangnya menyukarkan lagi kerja rangkaian 3 penyerang Terengganu, J. Partiban, Bruno Suzuki dan Kipre Tchetche menjaringkan gol.

Sejak diturunkan buat kali pertama selepas jendela perpindahan pemain kedua dibuka, Khairul Fahmi mempamerkan aksi cemerlang untuk mengikat Perak 0-0 di Stadium Perak, Ipoh dan PKNS 1-1 di halaman sendiri.

Ketika menentang Perak, beliau telah melakukan sekurang-kurangnya 5 aksi menyelamat refleks yang bertanggungjawab memberi 1 mata kepada pasukannya.

Khairul Fahmi Che Mat memastikan gawang Melaka United tidak mudah dibolosi ketika menentang Perak. FOTO: MUSA

Bagaimanapun Khairul Fahmi seorang tidak akan mampu menyelamatkan Melaka United jika penyerang utama mereka, Yahor Zubovich tidak berjaya memecah kebuntuan gol di luar Stadium Hang Jebat. Daripada 6 gol dalam 10 penampilan Zubovich di unifi Liga Super 2018 setakat ini, kesemuanya terhasil ketika aksi di halaman sendiri.

Yahor Zabovich masih buntu gol di luar Stadium Hang Jebat. (Sumber: MUSA)

Di luar Stadium Hang Jebat, hanya Tiago Gomes satu-satunya pemain Melaka United yang pernah menjaringkan gol dalam aksi unifi Liga Super sehingga kini. Manakala penyerang sayap seperti R. Gopinathan masih gagal mengulangi prestasi prolifiknya di depan gol sepertimana yang pernah kita saksikan ketika beliau bermain di Pahang.

Bagi Terengganu pula, mereka langsung tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjaringkan gol – terutamanya di halaman sendiri. Sebanyak 10 gol berjaya dijaringkan daripada 6 perlawanan liga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan 5 daripadanya disumbang oleh kapten dan penyerang berbisa mereka, Kipre Tchetche.

Rekod Terengganu di halaman mereka sendiri bagaimanapun tidaklah terlalu sempurna. Hanya 2 kemenangan berjaya dicatatkan daripada 6 perlawanan sedangkan di halaman lawan, mereka sudah mencatatkan 3 kemenangan dari 5 perlawanan – menandakan Terengganu sebenarnya berdepan dengan masalah konsistensi.

Pemain tumpuan

Memandangkan kedua-dua pasukan ini dijangka akan membariskan formasi yang hampir sama iaitu 4-3-3, jentera tengah akan menyaksikan banyak pertarungan-pertarungan kunci yang bakal menentukan pemenang.

Bagi Terengganu, peranan Lee Tuck sebagai pemain tengah box-to-box sangat penting untuk menyokong jentera serangan ketika menyerang dan membantu Thierry Bin ketika bertahan.

Kualiti teknikalnya yang tinggi membuatkan Tuck pemain berbahaya ketika situasi set-piece mahupun ketika mempunyai peluang membuat percubaan jarak jauh. 5 gol yang dijaringkan beliau dalam unifi Liga Super setakat ini adalah testimoni jelas kualiti beliau.

Sementara itu tugas berat untuk mengawal Lee Tuck akan jatuh di bahu Jeon Woo-young. Pemain tengah kelahiran Korea Selatan ini berjaya menjaringkan gol hasil sepakan percuma cantik ketika pasukannya seri 1-1 menentang PKNS dan berpeluang melakukan perkara sama jika Terengganu kerap melakukan kekasaran – sesuatu yang selalu dilakukan oleh Terengganu pada musim ini.

Satu-satunya peluang bagi Woo-young untuk menangani Lee Tuck adalah jika Melaka United bermain dengan defensif dan tidak cuai ketika melakukan serangan. Ini kerana, jika ada satu perkara yang membuatkan Tuck berbahaya adalah kehadiran ruang untuk beliau beroperasi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN