Previu MSL 2018: Almeida Perlu Elak Projek Melaka Berimpak Rendah Seperti Musim Lalu

Musim kedua dalam saingan Liga Super pasti mahu dimanfaatkan sebaiknya oleh Melaka United untuk melakar sesuatu selepas bergemar juara 100Plus Liga Premier pada 2016.

Pada musim lalu, segalanya kelihatan tidak menentu bagi mereka di pusingan pertama Liga Super 2017.

Selepas menyelesaikan beberapa isu di dalam dan di luar padang, terutama selepas melakukan pertukaran ketua jurulatih daripada Eric Williams kepada Eduardo Almeida, Melaka secara perlahan kembali bangkit, setelah hampir keseluruhan musim berada di zon penyingkiran.

Musim lalu, skuad Hang Tuah menamatkan saingan liga di tangga ke-8 selepas memungut 24 mata serta melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Pembentukan pasukan

Hanya seorang pemain import dikekalkan iaitu Jeon Yoo Woung dari Korea Selatan yang mempamerkan aksi yang menyakinkan di bahagian tengah pada musim lalu.

Sementara itu, 3 pemain import yang lain, iaitu Jasmin Mecinovic, Philip De Souza dan Marko Simic dilepaskan oleh pihak pengurusan selepas tamat saingan musim lalu.

Melaka segera mendapatkan pengganti kepada pemain-pemain import ini dan telah menandatangani 3 pemain import baharu di setiap posisi.

Antaranya ialah Yahor Zubovich (Belarus) yang beraksi di bahagian serangan, Thiago Gomez (Portugal) di bahagian tengah dan Steven Thicot (Perancis) di bahagian pertahanan.

Dalam pada itu, jentera tengah Melaka turut diperkuatkan dengan penampilan pemain import untuk mengisi kuota ASEAN iaitu Shahdan Sulaiman dari Singapura sekaligus melengkapkan 5 kuota pemain import buat skuad Melaka bagi menghadapi saingan musim ini.

Kehadiran pemain tempatan

Pasukan kendalian Almeida turut mendapat sentuhan pemain tempatan yang berpengalaman. Antaranya ialah Ahmad Fakri Saarani, R Gopinathan, S. Chanturu, Azmi Muslim dan penjaga gol, Zamir Selamat.

Kehadiran mereka dijangka mampu membantu perancangan Almeida merangka pasukan untuk menghadapi perlawanan pada musim ini.

Sumber: MUSA, Facebook.

Selain itu, kembalinya ayam tambatan Melaka United dalam saingan Liga FAM 2015 dan Liga Premier 2016, Nur Shamil Abd Ghani yang sebelum ini bersama Selangor.

Beliau dilihat bakal memberi lebih banyak pilihan dalam perancangan Almeida di bahagian serangan.

Adunan pemain sedia ada

Beberapa pemain yang telah bersama pasukan seperti R Surendran, Mohd Fauzi Roslan, G Puaneswaran, Muhamad Syawal Norsham dan Mohd Faizal Muhammad.

Mereka sedia menggalas tanggungjawab besar musim baharu ditambah dengan keserasian yang telah diadun beberapa bulan sebelum ini mampu menambah keyakinan dalam pasukan nanti.

Dua pemain kacukan, Khair Jones dan Nicolas Swirad yang beraksi baik dan menjadi tunjang kesebelasan utama pada musim lalu, turut dijadikan taruhan Almeida dalam mencapai aspirasi pengurusan.

Perlu perbaiki benteng

Sedar atau tidak, pasukan ini merekodkan jumlah bolos yang paling tinggi selepas melengkapkan 22 perlawanan saingan Liga Super pada musim lalu.

Ia adalah petanda jelas Almeida perlu melakukan sesuatu untuk memastikan benteng Melaka United tidak serapuh musim lalu, mengambil kira cabaran yang semakin getir menanti pada musim ini.

Aspek bertahan sebagai sebuah merupakan antara perkara yang perlu dititikberatkan, jika Melaka United mengimpikan kedudukan yang lebih baik pada musim hadapan.

Aksi & prestasi pra-musim

Beberapa siri perlawanan persahabatan telah di atur sejak Disember 2017, antaranya menentang skuad Malaysia B23 tahun dan Negeri Sembilan serta mengadakan 2 perlawanan di Vietnam bagi mendedahkan para pemain dengan cabaran musim baharu.

Penyertaan pasukan dalam Kejohanan Piala YAB Menteri Besar Terengganu baru-baru ini juga dilihat sebagai medan terbaik dalam menguji keserasian pasukan yang terdiri daripada muka lama dan baru ini.

Meskipun sekadar perlawanan pra-musim, keputusan bukanlah menjadi ukuran utama.

Namun penilaian keseluruhan terhadap kemampuan pasukan, dan memperbaiki kelemahan sedia ada dalam tempoh lebih kurang 2 minggu sebelum sepak mula musim baharu seharusnya menjadi keutamaan.

Elak kesilapan projek 2017

Melaka melakukan rombakan paling drastik pada 2017. Bermula dengan tidak menawarkan kontrak kepada Mat Zan yang telah membawa pasukan Melaka ke Liga Super, mereka menandatangani terlalu ramai pemain.

Dalam pengurusan bola sepak moden, jika anda hilang lebih 7 pemain pasukan utama  (25 pemain), anda sebenarnya dalam proses membina pasukan baru.

Ia kesilapan Melaka musim lalu. Mereka tak perlu bina pasukan baru sebaliknya perlu memperkuatkan pasukan sedia ada dengan tambahan beberapa pemain penting di posisi tertentu.

Musim ini, mereka lebih realistik dan tidak terlalu emosi dalam pengambila pemain.

Rumusan

Kredit harus diberikan kepada Eduardo Almeida atas usaha beliau sejak mengambil alih jawatan Ketua Jurulatih pada musim lalu.

Perubahan demi perubahan yang diterapkan oleh Almeida terutama dari segi disiplin taktikal pemain akhirnya membuahkan hasil, menyaksikan Melaka United mulai mengutip mata demi mata sebelum keluar daripada zon penyingkiran.

Momentum sebegitu pasti mahu dikekalkan oleh Almeida untuk musim 2018. Musim 2018 adalah musim sebenar Almeida selepas menyelamatkan kapal Melaka daripada karam musim lalu.

Selamat maju jaya diucapkan buat pasukan Melaka United dalam mengharungi saingan Liga Malaysia 2018!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN