Previu Kumpulan B Selangor Champions League 2017: 3 Pasukan Shah Alam Hangatkan ‘Kumpulan Maut’

Rata-rata riak muka pengurus pasukan yang datang menyaksikan majlis cabutan undian pasukan Selangor Champions League 2017 berubah apabila melihat senarai pasukan-pasukan yang berada di kumpulan B.

Majlis cabutan undian pasukan Selangor Champions League 2017 yang berlangsung di Wisma Guocoland pada petang Sabtu semalam menyaksikan kumpulan B disertai oleh 2 finalis edisi 2016, 3 gergasi kelab bola sepak amatur Shah Alam dan 4 pasukan yang bereputasi tinggi.

Riak muka pengurus Ingress Tigers, Heiqal Khan yang menghela nafas lega selepas menyaksikan pasukannya diundi dalam kumpulan A menjelaskan segalanya.

Sebagai sebuah pasukan yang serius mahu merebut gelaran juara Selangor Champions League edisi 2017 kali ini, Heiqal pastinya tidak mahu pasukannya berentap dengan jagoan-jagoan dalam kumpulan B.

Undian petang semalam menyaksikan 8 pasukan berikut diundi dalam kumpulan B:

  • Shah Alam Antlers (Shah Alam)
  • SA United (Shah Alam)
  • Axis O2 (Petaling Jaya)
  • Protap FT (Subang)
  • Empayar Bangi (Bandar Baru Bangi)
  • Rebel FC (Sri Hartamas)
  • PIB FC (Shah Alam)
  • Terrapins (TTDI)
  • Klasiko FC (Batu Caves)

Jika anda tak berapa kenal dengan reputasi pasukan-pasukan di atas, jangan risau. Kami akan kenalkan kepada anda siapa pasukan-pasukan ini dan mengapa kumpulan B ini digelar ‘kumpulan maut’.

1. Shah Alam Antlers

Kredit: Shah Alam Antlers

Boleh dianggap sebagai pasukan paling terkenal antara 9 pasukan lain dalam kumpulan B ini, Shah Alam Antlers dikenali kerana 2 perkara – pengurusan pasukan yang ala profesional dan prestasi di atas padang mereka yang turut cemerlang.

Pada musim lepas, Antlers berjaya muncul juara Klang Valley Super League (yang turut dihuni oleh SA United, PIB dan Terrapins) tanpa kalah. Prospek bermain menentang Antlers sekali lagi dalam SCL2017 sememangnya sesuatu yang seboleh-bolehnya mahu dielak oleh pasukan-pasukan lain.

Dengan semua perlawanan kumpulan akan berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Shah Alam Antlers turut bakal diperkuatkan dengan kehadiran ratusan penyokong-penyokong setia mereka yang terkenal dengan permainan psikologi mereka terhadap pasukan lawan.

2. SA United

Seperti seteru jiran mereka di Shah Alam Antlers, SA United juga merupakan pasukan yang mempunyai staf pengurusan yang profesional dan tersusun.

Meskipun terkandas dalam pusingan playoff dan hanya layak ke SCL2017 selepas ada 2 pasukan yang terpaksa menarik diri, SA United tetap mempunyai reputasi sebagai pasukan yang kuat dalam arena bola sepak amatur Selangor.

Beraksi dalam Klang Valley Super League, SA United menduduki tangga ke-4. Jika anda menyaksikan mereka bermain, perhatikan aksi penyerang import mereka Hakeem Azeez dan Mohamed Ahmed.

3. Axis O2

Juara JES League musim lepas ini juga bukan pasukan sebarangan. Pasukan-pasukan di kumpulan A terutamanya Condoh dan ATY Serayan pastinya lega apabila pasukan dari Petaling Jaya ini tidak berada dalam kumpulan mereka.

Terkenal dengan kekuatan barisan serangan mereka yang menjaringkan 58 gol dalam 15 perlawanan JES League musim lepas, O2 turut di bahagian pertahanan. Malah dalam aksi perlawanan persahabatan menentang Terrapins baru-baru ini, O2 berjaya menewaskan juara SCL2016 itu 2-1.

4. Protap FT

Muncul juara Klang Valley Premier League pada musim lepas, Protap menawan hati peminat bola sepak amatur Selangor melalui permainan menyerang mereka yang dilabel mereka sebagai ‘the Protap way’.

Meskipun baru ditubuhkan pada musim lepas, pasukan yang berasal dari Subang ini mempunyai beberapa penyerang tempatan yang menyerlah. Antaranya ialah Razzmir Ashraff dan penyerang yang menjaringkan 13 gol dalam 14 perlawanan Klang Valley Premier League musim lepas, Syafiq Hamid.

5. Empayar Bangi

Empayar Bangi atau dahulunya dikenali dengan nama Project Empayar baru melalui proses penjenamaan semula dan penstrukturan pasukan. Ini menandakan mereka mahu serius dan komited dalam perjuangan membawa nama komuniti Bandar Baru Bangi dalam arena bola sepak amatur.

Juara Klang Valley League Gombak pada musim lepas ini mendominasi aksi liga tersebut dengan 14 kemenangan dan hanya satu seri daripada 15 perlawanan.

6. Rebel FC

Finalis Selangor Champions League musim lepas ini baru sahaja menjulang kejuaraan District League musim 2017.

Dalam Selangor Champions League edisi kali ini, Rebel FC sudah pastinya mahu menebus kehampaan mereka dalam perlawanan akhir (kalah 1-2 kepada Terrapins). Ini menjadikan mereka salah satu pasukan pilihan dalam edisi kali ini.

Sebagai persiapan, mereka memperkuatkan pasukan mereka dengan dua pemain import dari Ivory Coast dan Jepun.

7. PIB FC

Seperti jiran-jiran mereka di Shah Alam, PIB FC juga merupakan pasukan yang mempunyai pengurusan yang sistematik seperti pasukan profesional. Kebajikan setiap pemain mereka dijaga – dengan segala urusan luar padang diuruskan oleh staf pengurusan dan setiap pemain diberi elaun bulanan.

Menduduki tangga ke-3 Klang Valley Super League pada musim lepas, PIB FC seterusnya layak ke playoff SCL2017. Di peringkat playoff, PIB FC ternyata berada di kelas tersendiri apabila mudah layak ke SCL2017 dengan 2 kemenangan dan 10 gol.

Penyerang mereka, Fakhrul Anuar yang menjaringkan 3 gol di peringkat playoff adalah nama yang perlu diperhatikan oleh barisan-bariasan pertahanan 8 pasukan lain.

8. Terrapins

Juara Selangor Champions League edisi musim lepas ini layak ke SCL2017 selepas menduduki tangga ke-2 Klang Valley Super League, 7 mata di belakang juara liga Shah Alam Antlers.

Terkenal dengan keberanian mereka bermain dalam formasi ‘back three’ untuk memberi lebih banyak slot bermain kepada penyerang, Terrapins juga merupakan salah satu pasukan pilihan utama dalam edisi SCL kali ini.

Musim ini Terrapins akan menggabungkan banyak muka-muka baru dalam pasukan mereka memandangkan beberapa pemain lama mereka sudah berhijrah ke kelab baru.

9. Klasiko FC

Juara Kota Damansara Premier League musim 2017 ini tidak asing lagi dalam arena bola sepak amatur Selangor.

Tersingkir di peringkat suku akhir edisi tahun lepas, Klasiko akan tampil dalam edisi 2017 kali ini dengan barisan pemain baru memandangkan beberapa pemain mereka terpaksa memberi komitmen di pasukan lain di SCL2017.

Penyerang mereka, Shaikh Hamzah yang menjaringkan 8 gol di Kota Damansara Premier League pada musim lepas adalah satu lagi nama yang perlu diawasi oleh barisan-barisan pertahanan 8 pasukan lain.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN