Presiden PFAM Tegur Sikap Kelab Cenderung Abai Kebajikan Pemain

safee-sali-perlis-gaji-2019

Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali hari ini menegur segelintir kelab di Liga Malaysia yang gagal mengutamakan kebajikan pemain sehingga membantutkan usaha mereka yang ikhlas untuk membangunkan bola sepak Malaysia tidak kesampaian.

Antara isu yang dimaksudkan oleh penyerang Kuala Lumpur City FC itu ialah seperti tunggakan gaji, penamatan yang tidak adil, pemain dibuli, kontrak dimanipulasi, pemain tidak dilindungi insurans.

Turut mendapat perhatian beliau ialah isu pemain cedera yang tidak mendapat perhatian sewajarnya. Perkara itu kemudiannya berlanjutan sehingga pemain menjadi mangsa gaji dipotong dan ditawarkan kontrak yang nilainya jauh lebih rendah jika pemain itu cedera.

“Hal sebeginilah yang membantutkan usaha mereka yang ikhlas untuk membangunkan bola sepak Malaysia. Isu-isu yang saya nyatakan ini sepatutnya tidak berlaku di era profesional,” kata Safee melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PFAM pada hari ini.

“Ia jugak tidak berlaku di negara negara maju. Kami menerima pelbagai aduan daripada pemain mengenai permasalahan yang berkaitan dengan kebajikan dan hak mereka. Soalan saya, sampai bila kelab-kelab seperti ini akan terus mengambil kesempatan?

“Selaku Presiden PFA Malaysia, saya benar-benar menggesa agar setiap kelab benar-benar menghargai para pemain. Nilailah kami sebagai aset pasukan, bukan sebagai barang dagangan yang sesuka hati dibuang pakai.

“Selaku seorang pemain, percayalah, sekiranya kelab benar-benar menghargai kami, kami akan lebih bersungguh-sungguh untuk bermain demi kelab kerana ingin membalas kepercayaan yang diberikan kepada kami.”

Bekas penyerang Selangor dan JDT itu turut mengambil contoh beberapa kelab yang menjadi contoh menitikberatkan kebajikan pemain di negara ini.

“Tanpa berniat untuk menyebelahi sesiapa, kita sendiri boleh menilai pasukan seperti JDT dan Terengganu di mana para pemain sentiasa berusaha keras dan memberikan segala-galanya di atas padang kerana budaya profesionalisme yang sangat tinggi telah diterapkan oleh pengurusan pasukan.

“Selaku bekas pemain di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Johor (TMJ), saya sendiri boleh mengakui bahawa TMJ sangat menitikberatkan aspek kebajikan para pemain dan turut membantu para pemain yang sudah bersara.

“Ironinya juga, sekalipun TMJ adalah pemilik Kelab, TMJ juga agak lantang untuk menyuarakan hal kebajikan para pemain dan ini sepatutnya menjadi contoh buat pemilik-pemilik Kelab lain untuk berbuat hal yang sama.

“Kami di PFA Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pasukan khususnya pemilik-pemilik Kelab untuk mengadakan perbincangan bagi berkongsi hal ehwal pengurusan kebajikan para pemain,” tmmbah Safee lagi.

Tanpa menamakan kelab mana, TMJ sebelum ini menegur pihak pengurusan kelab di Liga Malaysia yang dipercayai bertindak memotong gaji pemain yang menghidap penyakit kanser.

Kenyataan pemilik JDT itu kemudiannya dijawab oleh Selangor FC melalui satu kenyataan yang menafikan mereka telah memotong gaji dan mengabaikan kebajikan kapten pasukan Brendan Gan yang sebelum ini menghidap kanser testis.

Pada masa yang sama Brendan Gan turut tampil menafikan Selangor FC gagal membayar gaji dan menunaikan tanggungjawab sebagai majikan, dan berpendapat kenyataan di media sosial boleh ditafsir dengan cara yang berlainan.

Selain itu Safee turut menyeru agar para pemain yang berhadapan dengan permasalahan berkaitan kontrak bersama pasukan, untuk tampil membuat aduan secara rasmi kepada PFA Malaysia, agar kami boleh membantu anda untuk memperjuangkan hak anda.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply