Presiden Liberia Beraksi 79 Minit Untuk Negaranya Menentang Nigeria

Kerjasama Semuanya BOLA

Presiden Liberia, George Weah beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa untuk negaranya pada Selasa, ketika usia sudah pun menjangkau angka 51.

George Weah ialah satu-satunya pemain dari benua Afrika yang pernah menerima anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA, melakukan penampilan selama 79 minit dalam kekalahan 2-1 kepada Nigeria di Monrovia.

(Photo by VCG/VCG via Getty Images)

Perlawanan tersebut diatur oleh Liberia sempena persaraan jersi No.14, yang sinonim dengan Weah ketika zaman kegemilangannya sebagai pemain bola sepak profesional.

Bekas penyerang AC Milan itu mengangkat sumpah sebagai presiden negaranya pada Januari, dan disambut dengan tepukan gemuruh dari penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan ketika digantikan pada minit ke-79 perlawanan.

Nigeria turut membariskan beberapa pemain utama mereka termasuk bintang Leicester City, Wilfred Ndidi dan pemain tengah Stoke City, Peter Etebo.

Manakala rakan sepasukan Ndidi di King Stadium, Kelechi Iheanacho dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua perlawanan.

Penyerang Galatasaray yang dipinjam dari Everton, Henry Onyekuru membuka gol pembukaan dalam perlawanan tersebut. Simeon Nwankwo kemudian menjadikan kedudukan 2-0 buat Nigeria selepas menyempurnakan sepakan penjuru Etobo.

Pasukan tuan rumah, Liberia memperolehi gol sagu hati melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Kpah Sherman di minit akhir perlawanan.

Sepanjang bersama Milan di antara 1995 sehingga 2000, Weah telah tampil dalam 114 perlawanan Serie A, dan menjaringkan 46 gol untuk pasukan San Siro itu.

Weah turut membantu Milan menjuarai dua kejuaraan Serie A, masing-masing pada musim 1995/96 dan 1998/99. Mula mencipta nama di Monaco dan PSG, Weah turut pernah beraksi bersama Chelsea, dan membantu kelab London itu menjuarai trofi Piala FA pada musim 1999/2000.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram