Populariti & Tekanan Punca “Wonderkid” Dortmund Pernah Mahu Berhenti Main Bola Sepak

Populariti dan harapan menggunung yang diletakkan pernah menjadi sebab pemain muda berbakat besar Borussia Dortmund, Youssoufa Moukoko berhenti bermain bola sepak.

Pemain remaja ini baru-baru ini berkongsi pengalamannya kepada Goal, dan bagaimana perkembangan beliau sebagai seorang pemain di Westfalenstadion. Moukoko turut berkongsi mengenai sasaran dan apa yang beliau mahukan untuk musim baharu yang menjelang tiba.

Pemain termuda Bundesliga

Digelar sebagai salah seorang “wonderkid” di dalam dunia bola sepak, Moukoko mendedahkan beliau pernah berfikir untuk berhenti bermain bola sepak kerana tekanan yang dihadapinya kerana menjadi popular dan tumpuan pada usia muda.

Moukoko mulai diserap ke dalam skuad utama Dortmund pada usia 15 tahun pada Januari 2020, selepas menjaringkan 88 gol dari 141 penampilan untuk skuad akademi kelab Jerman itu.

Pada November tahun lalu, Moukoko tampil menjadi pemain termuda di dalam sejarah Bundesliga melakukan penampilan, sehari selepas menyambut hari jadi ke-16.

Sejak debut bersama skuad senior Dortmund, Moukoko mulai diberikan peranan penting di dalam pasukan, tetapi karier yang diharapkan sebenarnya tidak seperti yang dirancang.

Populariti undang tekanan

Moukoko kini mengakui bergelut secara mental disebabkan harapan menggunung yang diberikan ketika beraksi di tahap tertinggi.

Pemain muda itu bagaimanapun memberikan kredit kepada jurulatih skuad remaja Dortmund, Sebastian Geppert kerana membantu beliau melalui saat sukar itu.

“Pada peringkat awal, semua laporan [akhbar] adalah sesuatu yang membuatkan saya stress, terutama apabila ia berbicara mengenai usia,” kata pemain itu kepada WAZ.

“Saya tidak sanggup melaluinya lagi. Saya mahu berhenti [bermain bola sepak], tetapi jurulatih saya banyak membantu dan memberikan sokongan. Saya tidak akan lupakan semuanya yang berlaku di atas padang.”

Rekod Moukoko untuk Dortmund

Sejak melakukan penampilan pertama untuk Dortmund dalam perlawanan menentang Hertha Berlin, Moukoko telah tampil dalam 15 perlawanan untuk kelabnya itu melangkaui semua pertandingan – termasuk satu penampilan di Champions League.

Pemain skuad Jerman Bawah-20 itu telah berjaya menghasilkan tiga gol senior, dan kini adalah penjaring gol termuda di dalam sejarah Bundesliga.

Gol sulung Moukoko untuk skuad senior Dortmund tiba dalam perlawanan menentang Union Berlin pada Disember tahun lalu.

Musim 2021-22

Kini Moukoko menjadi semakin bersemangat dan mahu menjadikan musim 2021/22 yang bakal tiba di bawah pengendali baharu, Marco Rose sebagai musim yang berjaya.

“Saya mahu mendapatkan lebih banyak peluang dan minit perlawanan, menjaringkan lebih banyak gol, dan menghasilkan lebih banyak assists,” kata Moukoko dengan bersemangat.

“Saya juga mahu sentiasa ada di sana setiap kali pasukan memerlukan saya.

“Sudah tenti ia bukan perkara mudah. Tetapi saya harus yakin dengan kemampuan dan kebolehan diri. Saya perlukan minit perlawanan. Saya yakin saya akan mendapatkan lebih banyak minit perlawanan.”

Moukoko turut melahirkan keyakinan beliau Dortmund mampu mencabar Bayern Munich untuk kejuaraan Bundesliga dan menhadirkan impak di pertandingan UEFA Champions League pada musim hadapan.

“Kapten pasukan Marco Reus sentiasa berkata kami mampu bermain dan bersaing untuk kejuaraan. Kerana itulah saya mahu menjadi juara Jerman dan memenangi trofi,” tambah Moukoko lagi.

“Jika kami percayakan kemampuan diri, kami juga mampu mencapai kejayaan di Champions League. Kenapa tidak?”

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN