Memisahkan Bola Sepak Dengan Politik, Logik Atau Retorik?

Bola Sepak Politik

Politik dan bola sepak adalah dua entiti berbeza yang berkuasa sama ada menyatukan atau memecah belahkan golongan manusia. Ramai peminat bola sepak berpendapat bahawa politik dan bola sepak perlu dipisahkan. Namun, boleh atau tidak? Jika boleh, patut atau tidak?

Bagi pengguna Twitter, pasti kalian pernah membaca ciapan daripada beberapa bekas pemain bola sepak mengenai hal-hal dunia yang menerima reaksi negatif. Contohnya, bekas pemain England & Barcelona, Gary Lineker seorang yang tidak segan menyuarakan pendapat peribadinya.

Namun, seringkali tweet ciapan beliau dibalas dengan ungkapan “Stick to Football!” atau “Keep politics out of football!” Perkara yang sama juga berlaku kepada Gary Neville, juara Liga Inggeris sebanyak lapan kali, yang lantang bersuara di laman sosial, terutamanya Twitter.

 

Adakah kerana kedua-dua Gary tersebut bukan dari latar belakang administratif, lalu mereka dilarang bersuara?

Adakah kedua-dua ungkapan diatas secara tidak langsung mencadangkan bahawa langkah paling bernas sebaliknya adalah untuk berdiam sahaja apabila berlakunya ketidakadilan?

Lebih-lebih lagi, adakah persoalan ini sebenarnya bersifat hipokrit, hanya kerana ianya bercanggah dengan pendirian si penyoal?

Kolumnis akhbar di UK juga ada yang beranggapan segelintir penyokong lebih rela mengambil pendekatan umpama ‘the ostrich burying its head in sand’ atau dalam kata lain, mengelak daripada menghadapi masalah.

Tambahan, konsep ‘having a hard conversation’ juga tidak digemari ramai. Inikan pula di benua Asia Tenggara, dimana kita secara amnya bukanlah golongan paling ‘confrontational.’

Dalam mengupas isu ini, sepanjang dua musim lepas sahaja banyak peristiwa boleh dibincangkan. Mesut Ozil, antara pemain ‘number 10’ terbaik era moden, jarang diturunkan, malah boleh dianggap dibekukan oleh pasukannya Arsenal selepas bersuara menentang keganasan & penganiayaan terhadap komuniti Uyghur di daerah Xinjiang melalui akaun Instagramnya.

Tanpa mengkritik mahupun menyokong Ozil, kelab itu melalui laman rasmi serta aplikasi Weibo sebaliknya berkeras memegang kepada prinsip ‘tidak mahu melibatkan kelab dalam politik.’

Sementara itu, penganugerahan darjah kebesaran MBE (Member of the British Empire) buat Marcus Rashford dan Jordan Henderson atas khidmat kebajikan sepanjang pandemik ini juga perlu kita puji.

Berpaksikan motivasi sebagai insan yang pernah merasai keperitan berlapar sepanjang malam suatu masa dulu, kempen mulia Marcus melalui surat terbukanya kepada ahli-ahli parlimen UK berjaya memberi tekanan kepada kerajaan supaya menarik balik keputusan mereka berkenaan program makanan percuma buat kanak-kanak bersekolah sepanjang cuti musim panas tatkala sekolah semuanya ditutup.

Hasilnya, lebih 1.3 juta kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah layak menerima baucar makanan percuma. Katanya juga, dana sebanyak £20 juta telah berjaya dikutip dengan kerjasama syarikat kebajikan FareShare UK setakat bulan Jun 2020. Soalan beliau buat ahli parlimen adalah mudah – ‘have they experienced these things?”

Dengan berakhirnya Euro 2020 di Wembley, penulis turut bersimpati terhadap Marcus Rashford, Jadon Sancho & Bukayo Saka, setelah mereka dijadikan mangsa sasaran racial abuse di setiap platform media sosial masing-masing sejurus kekalahan England di peringkat akhir.

Ini tidak patut berlaku, lagi-lagi pada tahun 2021. Dalam tindak balas kononnya bersolidariti bersama pemain-pemain tersebut, Priti Patel (Ahli Parlimen & Home Secretary UK) teruk dihentam pemain pertahanan Aston Villa, Tyrone Mings.

Priti Patel pada awal kejohanan telah membenarkan sahaja peminat di stadium boo pemain England yang melutut sebagai tanda anti-rasis kerana menurutnya ‘itu pilihan mereka, terpulang lah.’ Beliau jelas tidak menyokong inisiatif ini dan lebih mengecewakan, merendahkannya sebagai ‘gesture politics’ semata-mata. Terima kasih, big Ty.

Amerika Syarikat pula sudah tentu tidak asing lagi dengan penglibatan politik dalam sukan. Di sana, juara NBA dan Superbowl seringkali dijemput ke White House. Persembahan jet pejuang tentera pra-perlawanan NFL juga sering dipersoal motifnya.

Antara detik paling ikonik adalah apabila dua pemecut USA, Tommie Smith & John Carlos mengangkat tangan mereka yang disarung sarung tangan hitam ketika berdiri di atas podium Sukan Olimpik 1968.

Pada tahun 2016, quarterback NFL Colin Kaepernick juga antara perintis perbuatan melutut atau lebih dikenali sebagai ‘taking a knee’ sambil lagu kebangsaan USA dimainkan pra-perlawanan, sebagai tanda protes terhadap penindasan dalam bentuk perkauman.

Berbalik kepada England, beberapa pemain seperti Nemanja Matic, James McClean & Callum Wilson enggan memakai ‘poppy’ sempena Remembrance Day yang dianjurkan untuk menghargai nyawa-nyawa pejuang yang terkorban dalam perang dunia.

Walaupun perkara ini bukanlah wajib dan mereka sememangnya berhak mempunyai sebab-sebab tersendiri, mereka tidak dapat lari daripada caci maki segelintir rakyat tempatan di sana.

Banyak lagi insiden yang penulis tak mampu ulas dalam satu artikel sahaja. Daripada Choudhory & Fofana (Leicester City) serta Pogba & Amad (Man United) mengangkat bendera Palestin selepas tamat perlawanan.

Kemudian aksi Hein Htet Aung (Selangor) mengangkat tiga jari sebagai simbol anti-authoritarian menentang rampasan kuasa tentera di negara asalnya Myanmar, sehinggalah insiden Cristiano Lucarelli (Italy U21 2005) meraikan jaringan gol dengan membuka jersi untuk sengaja menunjuk baju lapisan dalam yang jelas memaparkan muka Che Guevara.

Ini belum sentuh isu di Malaysia lagi. Di sini, topik perbincangan bukan lagi politik dan bola sepak, sebaliknya pengaruh politik dalam bola sepak. *senyum sinis*

Hakikatnya, sukan dan politik sudah lama sebati atau intertwined. Dengan kemajuan digital, realitinya sukan dalam abad ke-21 adalah acara berprofil tinggi melibatkan atlet elit yang mempunyai platform sosial besar.

Oleh itu, selagi sifat kemanusiaan masih kuat, selagi itulah mereka akan tetap menggunakan platform sosial mereka untuk membawa suara golongan terpinggir mahupun tertindas, politikal atau tidak. Ternyata, “we cannot keep politics out of sport, but please keep politicians out of football” – Marina Hyde, kolumnis Guardian.

Artikel ini disumbangkan oleh Ashraf Arif Zuhdi.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply