Paul Pogba Dedikasikan Gol Kepada Mendiang Ayahnya

Paul Pogba melakukan gol menerusi sepakan percuma menarik menentang Rusia semalam. Beliau menujukan gol itu kepada mendiang ayahnya. Jika ayahnya masih hidup, ianya merupakan hari jadi ke-80 ayah Paul Pogba.

Ayah Pogba, mendiang Fassou Antoine meninggal dunia pada Mei tahun lalu. Tahun lalu, pada hari yang sama, Pogba sempat meluangkan masa meraikan hari jadi ke-79 tahun ayahnya di hospital.

Selepas menjaringkan gol menerusi sepakan percuma menarik dari jarak 27 meter, Pogba Pogba mengangkat sedikit jersinya dan tertera pada baju beliau satu mesej:

“Selamat hari jadi papa, semoga Allah mengasihimu.”

Di laman sosial, ramai peminat terharu dan terkesan dengan tindakan Pogba. Ianya menunjukkan kasih sayang seorang anak kepada ayahnya yang tidak pernah akan pudar.

Walaupun setinggi mana Pogba berada pada hari ini, dia tetap seorang anak yang mengasihi ayahnya meskipun ayahnya sudah tiada lagi di sisi.

Selain daripada melakukan gol, Pogba turut melakukan bantuan gol kepada Kylian Mbappe. Perancis menang 3-1 dalam perlawanan persahabatan tersebut yang juga perlawanan pemanas badan menjelang Piala Dunia.

Dengan aksi cemerlang beliau, tidak hairanlah Paul Pogba dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Paul Pogba akan kembali semula ke Manchester United selepas tamat tugasan antarabangsa. Peminat-peminat Man. United berharap beliau akan kembali ke prestasi terbaik seperti mana aksi beliau bersama Perancis.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram