Quantcast

BERITA

Pogba Dan De Gea Sah Tidak Dapat Turun Lawan Liverpool

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengesahkan David de Gea dan Paul Pogba akan terlepas pertembungan Liga Perdana Inggeris, di antara Manchester United dengan Liverpool pada Ahad ini.

Penjaga gol United, David De Gea mengalami kecederaan di pangkal paha ketika seri 1-1 dalam tugasan antarabangsa – Sepanyol menentang Sweden – pada kelayakan Euro 2020 pada Selasa yang lalu.

David De Gea beraksi sangat cemerlang dalam perlawanan itu. Beliau turut melakukan ‘double saves’ sebelum dikeluarkan.

Sementara itu, Pogba pula masih tidak dapat cergas sepenuhnya daripada kecederaan di pergelangan kaki. Beliau hanya bermain 2 kali untuk United pada musim ini.

Pemain kebangsaan Perancis itu menyatakan beliau mahu beraksi menentang Liverpool, namun ianya tidak sempat untuk direalisasikan.

Manchester United berhadapan dengan krisis kecederaan pemain utama. Selain daripada De Gea dan Pogba, pemain lain seperti Aaron Wan Bissaka, Luke Shaw, Phil Jones, Anthony Martial, Timothy Fosu-Mensah dan Eric Bailly.

Ole Gunnar Solskjaer masih lagi menunggu kesemua pemain ini cergas untuk mendapatkan yang terbaik daripada mereka dan memberikan impak kepada pasukan.

Manchester United kini sedang berusaha memperbaiki kedudukan mereka di dalam liga. United berada di tangga ke-12 dengan hanya 2 mata daripada zon penyingkiran.

Liverpool pula berada di tangga pertama selepas cemerlang menang kesemua perlawanan mereka setakat ini.

Sebagai tambahan, Liverpool menerima berita gembira dengan kepulangan semula Alisson Becker. Selain itu, Mohamed Salah turut kembali menyertai latihan penuh pasukannya.

Namun pertarungan Derbi Barat Laut Inggeris ini sentiasa bukan tentang pasukan mana satu lebih cemerlang pada prestasi semasa. Ianya memiliki tekanan dan intensiti yang tersendiri.