Pochettino: Saya Akan Kekal di Tottenham Untuk Lima Tahun Lagi

Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menegaskan beliau tidak akan angkat kaki dari kelab berkenaan dan berharap untuk kekal di utara London itu untuk sekurang-kurangnya lima tahun lagi.

Pochettino kini di bawah tekanan di Spurs selepas pasukannya mengalami kekalahan memalukan 7-2 kepada Bayern Munich di tempat sendiri tempoh hari dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Keputusan ini menyebabkan pasukannya kini semakin sukar untuk layak ke pusingan 16 terakhir. Lebih buruk lagi, Spurs juga telah disingkirkan oleh kelab divisyen empat England, Colchester United dalam kejohanan Piala Carabao pada bulan lepas.

Sementara prestasi tidak konsisten sejak permulaan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) hanya meletakkan pasukannya pada kedudukan keenam di tangga liga.

Namun demikian, Pochettino masih optimis mengenai masa depannya bersama The Lilywhites dan berjanji memberikan sepenuh komitmen kelab kelab itu sekalipun bergelut untuk mencari rentak terbaik.

“Pada saat ini, semua pihak harus bersatu. Saya akan terima pandangan semua pihak. Inilah yang akan berlaku apabila pasukan kami tidak menang. Bukan sahaja di Tottenham, tetapi ia berlaku pada semua kelab di seluruh dunia.

“Ianya normal kekalahan [7-2 kepada Bayern] itu akan menimbulkan banyak perdebatan dan khabar angin. Semua orang mahu bercakap mengenainya.

“Tetapi hakikatnya, kekalahan itu telah pun berlaku. Saya tidak mahu bercakap banyak tentangnya, kita semua perlu bersatu kembali dan kembali mencari jalan untuk maraih kejayaan semula.

“Dalam lima tahun kebelakangan ini, setiap sidang media, kita akan bercakap mengenai masa depan saya. Jadi saya harap, disebabkan kita masih menyentuh perkara yang sama, itu bermaksud saya akan kekal di sini untuk lima tahun lagi sekurang-kurangnya.” kata Pochettino lagi.

Pengurus warganegara Argentina itu turut dipersoal mengenai isu luar padang pada musim ini. Tambahan pula, segelintir pemain utama masih tidak menzahirkan komitmen mereka untuk kekal di kelab berkenaan untuk jangka masa panjang.

Christian Eriksen, Toby Alderweireld dan Jan Vertonghen kini telah memasuki tahun akhir kontrak mereka di Spurs dan telah pun dikhabarkan akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini.

Kredit Foto: The Irish Sun

Pengurus berusia 47 itu turut mengatakan beliau tidak pernah sangsi dengan komitmen pemainnya untuk menampilkan persembahan terbaik setiap kali mereka diturunkan.

“Pertamanya mereka bermain untuk diri sendiri, kemudian untuk keluarga mereka dan sudah tentu untuk kelab dan staf kejurulatihan. Saya tidak pernah ragu-ragu dengan komitmen mereka.

Satu lagi masalah yang sedang melanda Spurs adalah mengenai Dele Alli yang kini sedang mengalami penurunan prestasi yang begitu ketara. Pada musim ini, Alli masih belum menjaringkan gol dan tidak menyumbang sebarang bantuan jaringan.

Pemain berusia 23 tahun juga tidak dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan England yang akan beraksi dalam pusingan kelayakan Eropah menentang Republik Czech dan Bulgaria pada bulan ini.

Menurut Pochettino, Dele Alli kini sedang berhadapan dengan tempoh sukar dalam kariernya. Ianya berlaku kepada semua pemain handalan tetapi beliau berjanji akan melakukan apa sahaja untuk membantu pemain tengah itu bertemu semula dengan prestasi terbaiknya.

“Mungkin aksinya [ketika menentang Bayern] bukanlah kemampuan sebenarnya. Apa pun, kami akan bantu sedaya upaya dengan menyediakan segala kemudahan dan kelengkapan untuk dia kembali pada prestasi terbaiknya.”

Serge Gnabry: Meninggalkan Arsenal Adalah Keputusan Paling Tepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram