‘Platform Untuk Berterima Kasih’ – Harry Kane Taja Leyton Orient

Harry Kane Jersi Leyton Orient 2020

Kapten England dan pemain Tottenham Hotspur, Harry Kane akan menaja jersi sebuah kelab yang bersaing di League Two, Leyton Orient pada musim hadapan.

Tetapi, paparan hadapan di ketiga-tiga jersi kelab tersebut bukanlah tertera nama Harry Kane, sebaliknya telah diberikan untuk mempromosi usaha kebajikan dan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang berkorban ketika COVID-19 ini.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa penyerang berusia 26 tahun itu memilih kelab tersebut berbanding kelab-kelab lain yang mungkin berstatus lebih baik?

Pada Januari 2011, penyerang ternama Totteham Hotspur ini telah membuat debut profesionalnya bersama kelab tersebut pada usia 18 tahun selepas dipinjamkan sehingga penghujung musim dan meledak gol pertamanya seminggu kemudian.

Melabelkan sebagai peluang buatnya untuk memberi semula kepada kelab yang telah memberikannya penampilan pertama sebagai pemain profesional, Harry Kane juga mahu memberikan penghargaan buat para petugas yang terlibat dengan COVID-19.

“Saya dilahirkan dan dibesarkan hanya beberapa batu daripada stadium ini dan saya sangat berbesar hati dapat menyumbang kepada kelab yang memberikan peluang kepada saya untuk tampil sebagai pemain profesional,” ujarnya di laman rasmi kelab.

“Ini juga dapat memberikan saya platform untuk menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada hero-hero di barisan hadapan dan juga badan kebajikan di luar sana yang telah membantu kita untuk melalui masa mencabar ketika ini,” tambahnya lagi.

Harry Kane tampil sebanyak 18 kali bersama Leyton Orient ketika dalam tempoh pinjaman tersebut dan telah menghasilkan lima gol dalam semua pertandingan.

“Dengan kebenaran daripada Premier League, FA England dan juga EFL, perjanjian pertama seumpamanya telah dipersetujui yang mana ia saat yang membanggakan buat kelab ini,” memetik kenyataan kelab tersebut di laman rasmi mereka.

Bahagian hadapan ketiga-tiga jersi Leyton Orient akan memaparkan; 1) Jersi Home: Mesej terima kasih kepada petugas barisan hadapan, 2) Jersi Away: Rumah Kanak-Kanak Haven House, dan 3) Jersi ketiga: Badan kebajikan kesihatan mental, Mind.

KREDIT FEATURED IMAGE: LEYTONORIENT.COM

Baca lagi artikel lain mengenai Harry Kane & Leyton Orient:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply