PKNS FC Yakin Tengku Amir Akan Kembalikan Zaman Kegemilangan Bolasepak Selangor

Kerjasama Semuanya BOLA

Kelab bola sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) menyifatkan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mampu mengembalikan zaman kegemilangan pernah dikecapi arena bola sepak negeri itu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman facebook rasminya, PKNS menyambut baik hasrat Tengku Amir untuk menyandang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 3 Julai depan.

Jawatan itu kosong setelah Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan perletakan jawatannya kerana mempunyai komitmen lain yang perlu diberi perhatian.

PKNS FC SAMBUT BAIK HASRAT RMS TERAJUI FAS——PKNS FC sebagai sebuah kelab bola sepak di negeri Selangor menyambut…

Posted by PKNS FC on Tuesday, June 5, 2018

“Pembabitan RMS di peringkat bola sepak akar umbi dan liga komuniti melalui Komuniti Belia Selangor menjadi bukti kecintaan baginda terhadasp sukan bola sepak negeri.

“Oleh itu, PKNS FC sama seperti rakyat negeri Selangor yang gembira menyambut perkhabaran ini, merasakan baginda sebagai individu paling tepat untuk menerajui FAS dan mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor.

“Kami di PKNS FC akan sentiasa menyokong penuh dengan tidak berbelah bahagi atas usaha transformasi yang dibawa baginda,” kata kelab yang diberi jolokan Semut Merah itu.

Melalui kenyataan rasmi Tengku Amir yang dimuat naik melalui akaun rasmi Instagram, baginda bertitah FAS harus melakukan anjakan paradigma dan perubahan yang menyeluruh dalam mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negeri itu.

Baginda menekankan ini bukannya masa untuk mengadu domba ataupun mencari kesalahan lampau. Baginda sentiasa menyokong penuh pembangunan bola sepak terutamanya di peringkat akar umbi dan fokus harus diberikan untuk memastikan FAS serta pasukan bola sepak negeri Selangor terus mara ke hadapan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram