PKNS FC Sasar Kedudukan 5 Teratas Liga Super 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Sasaran satu piala dan kedudukan lima teratas saingan Liga Super musim depan merupakan sasaran yang realistik yang ditetapkan oleh pasukan berstatus kelab, PKNS FC

Pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata kepada Sinar Harian, sasaran yang ditetapkan adalah sama seperti musim lalu memandangkan ia masih belum dicapai.

“Saya rasa kebanyakan pasukan akan meletakkan sasaran sama iaitu satu piala dan lima teratas liga.

“Tahun lalu kami sekadar mengakhiri saingan ketujuh dan tidak meraih sebarang piala, jadi diharapkan dengan beberapa rombakan sasaran ini dapat dicapai,” katanya.

Bagi menghadapi musim baharu, PKNS melakukan beberapa rombakan dengan melantik bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal sebagai ketua jurulatih baharu selain turut menggugurkan kesemua tonggak import musim lalu.

“Kita memang dah ada semua senarai pemain tempatan musim depan, termasuk penjaga gol. Pengganti penjaga gol itu juga dari Liga Super sebelum ini.

“Kalau boleh biar dirahsiakan dahulu nama kerana kami akan mengumumkan senarai penuh pada bulan depan,” katanya.

Namun begitu, PKNS FC masih belum menemui pemain import yang sesuai dalam usaha memperkuatkan pasukan itu musim depan.

Pengendalinya, Datuk K Rajagobal berkata, dia masih memerlukan masa untuk mencari lima pemain import bagi mengisi kuota dalam skuad The Red Ants.

“Kita ada menurunkan beberapa pemain import untuk ujian ketika perlawanan persahabatan menentang PKNP FC dan ada dalam kalangan mereka menunjukkan kualiti.

“Tapi kami tidak mahu terburu-buru untuk mengesahkannya kerana masih ada beberapa pemain import yang bakal hadir untuk sesi ujian bersama pasukan nanti dan siapa tahu mereka lebih berkualiti.

“Saya akui pasukan kini kesuntukan masa, tapi pemilihan pemain sangat penting dan kesilapan boleh memberi impak kepada pasukan. Jadi, saya masih memerlukan dalam tempoh dua minggu untuk selesaikan pencarian pemain ini,” katanya.

Datuk Rajagobal mengendalikan sesi latihan pasukan PKNS FC. Foto: PKNS FC

Rajagobal yang menandatangani kontrak selama setahun sebagai jurulatih PKNS FC, berkata beliau akan menggunakan pengalaman yang dimilikinya membantu pasukan berpangkalan di Kelana Jaya itu untuk sekurang-kurangnya memperbaiki kedudukan ketujuh yang dicatat dalam saingan Liga Super musim ini.

“Ini masa yang sesuai untuk saya kembali berbakti kepada bekas majikan dan tanpa berfikir panjang, saya bersetuju menerima tawaran menjadi jurulatih pasukan ini yang pernah saya bimbing (dari 1990-1998).

“Kita kena bersikap realistik kerana berada pada kedudukan ketujuh Liga Super musim ini, jadi saya mahu lebih baik daripada itu dan kalau boleh, kita beri saingan lebih sengit supaya lebih dihormati pihak lawan,” jelasnya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan bekas penyerang Pulau Pinang, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew dan bekas pemain Pahang, Nurridzuan Abu Hassan dikatakan sudah bersetuju untuk menyertai PKNS FC bagi musim depan.

“Saya akan berbincang dengan staf kejurulatihan lain mengenai posisi yang perlu diperkuatkan bagi memberi saingan kepada pasukan lain.

“Kita sudah ada senarai nama pemain tempatan cuma mungkin kita akan adakan ujian khas untuk menilai prestasi pemain import yang kita akan bawa masuk,” katanya.

Prestasi pasukan PKNS FC agak hambar musim ini apabila tersingkir pada pusingan kedua Piala FA selain gagal melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2017.