PKNP FC Tekad Curi 3 Mata Penuh Dari Skuad ‘Abang’

Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mahu memastikan pasukannya tidak pulang dengan tangan kosong apabila bakal turun menentang pasukan Perak di Stadium Perak malam ini.

Selepas mengharungi empat aksi Liga Super tanpa sebarang kekalahan, beliau tidak mahu rekod itu tercalar dan bersedia menjadi penghalang kepada skuad kendalian Mehmet Durakovic daripada mengutip tiga mata penuh.

“Sekarang sudah memasuki aksi ke-12 liga dan semua pasukan mahukan mata untuk memperbaiki kedudukan dan begitu juga dengan kami.

“Misi kami adalah mahu tamatkan saingan liga dalam kelompok enam pasukan terbaik atau sekurang-kurangnya tidak tersingkir daripada Liga Super.

“Ini musim pertama kami beraksi dalam Liga Super dan semestinya kami mahukan sekurang-kurangnya satu mata atau menang bagi memastikan kedudukan kami terjamin.

“Tambahan pula, kami sudah mengekalkan rekod tanpa kalah empat perlawanan. Besar cabaran untuk kami.

“Kali terakhir kami tewas adalah ketika menentang lawan yang sama dan sudah tentu untuk menghadapi mereka kami perlu memastikan kesilapan sebelum ini tidak berulang. Kami perlu mengawal ketat lawan terutamanya Gilmar dan Wander Luiz.

“Berdasarkan dua aksi liga, keputusan tidak begitu memihak kepada Perak dan sudah tentu mereka akan bangkit esok,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelihatan awang import baharu menjalani latihan dengan PKNP FC. FOTO: PKNP

Namun begitu, perlawanan malam ini tampak sukar kerana beliau tidak dapat menurunkan ayam tambatan, Shahrel Fikri dan Ezanie Mat Salleh selepas kedua-duanya mengalami kecederaan.

“Ezanie cedera lutut manakala keadaan Shahrel masih 50-50. Dia mengalami bengkak di bahagian tulang rusuk ketika menentang Kelantan. Tiada kecederaan serius cuma Shahrel mengalami kesukaran untuk bernafas. Kita masih ada masa untuk memantau perkembangannya.

“Bercakap mengenai import baharu, saya tidak berkesempatan untuk menggunakan Karl Max Dany manakala Kim Sang Woo menunjukkan prestasi yang memuaskan,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram