PKNP FC Sedia Lepaskan Shahrel Fikri Sekali Lagi Ke Kelab Luar Negara

Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) mungkin akan melepaskan penyerang berbisanya, Shahrel Fikri ke mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.

Hal ini disahkan sendiri oleh Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim yang menegaskan sekiranya Shahrel mendapat tawaran untuk beraksi di luar negara, beliau sanggup melepaskannya demi kemajuan bola sepak negara.

Shahrel yang kini menjalani tempoh pinjaman selama lima bulan bersama kelab Nakhon Ratchasima berjaya menjaringkan gol pertamanya minggu lepas dan PKNP FC sedia melepaskannya jika pasukan Liga Divisyen 1 Thailand itu terus berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada musim hadapan.

“Sama ada dia akan terus bersama Nakhon Ratchasima, itu bergantung kepada prestasi semasanya dan juga keputusan sama ada dia mahu terus beraksi di luar.

“Namun sebagai jurulatih, saya akan terus memberi galakan padanya untuk mengambil cabaran baharu dan jika ada tawaran lain, saya rela melepaskannya untuk dia mengejar cita-citanya,” katanya Abu Bakar kepada Berita Harian.

Shahrel Fikri

Jaringan Shahrel Fikri ketika membantu pasukannya menewaskan Ranong United minggu lepas menobatkan beliau sebagai pemain Malaysia yang pertama menjaringkan gol dalam saingan Liga Thailand.

Selain Shahrel, bekas pemain Pahang, Kiko Insa dan bekas pemain FELDA United, Curran Ferns juga beraksi dalam Liga Divisyen Utama Thailand.

Abu Bakar mengakui tidak terkejut dengan jaringan pertama Shahrel itu kerana beliau sudah menjangkakan anak buahnya itu mampu untuk meledak gol meskipun beraksi dalam saingan yang lebih sukar.

“Memang saya jangkakan Shahrel pasti dapat menjaringkan gol kerana sikapnya yang sentiasa berusaha untuk menambahkan keyakinan ketika beraksi.

“Syukurlah dia berjaya meledak gol pertamanya dan saya percaya lebih banyak gol dapat disumbangkan olehnya selepas ini,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram