Piala Sumbangsih 2021: 5 Perkara Tentang JDT vs Kedah

JDT Juara Piala Sumbangsih 2021 Kedah 5 perkara

Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih di bumi Johor apabila menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), malam tadi.

Kemenangan mudah 2-0 itu juga menandakan JDT sudah mempertahankan trofi tersebut selama empat musim berturur-turut. Sekalung tahniah buat juara tujuh kali Liga Super itu, dan berikut adalah 5 perkara tentang aksi JDT berdepan Kedah.

1. Bukan kecergasan yang maksimum

Kedua-dua pasukan masih dalam ‘mood’ pra-musim sebenarnya. Ketara dapat dilihat JDT mahupun Kedah, pemain kedua-dua pasukan bergelut mencari rentak sebenar. Tiga minggu persediaan untuk kembali beraksi sememangnya tidak mancukupi.

Jadi, benarlah apa yang dibangkitkan pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel Februari lalu yang persediaan tiga minggu adalah singkat. Katanya, “Jika anda tanya saya berapa banyak masa yang diperlukan, saya akan kata, lima ke enam minggu.”

“Semua pihak harus tahu yang kami perlu buat banyak perkara. Lima lawan lima, dua lawan dua, sesi taktikal, latihan pergerakan dan juga aksi persahabatan.

“Kurang daripada itu, jelas tidak cukup. Semua orang tahu, mustahil untuk selesaikan semuanya dalam tempoh yang singkat. Ini bukan langkah profesional. Saya harap pihak autoriti dapat memberikan kepada kami masa yang lebih panjang,” jelasnya.

JDT dan Kedah, masing-masing bergelut untuk mengeluarkan aksi memukau. Tempo perlawanan lebih kepada perlahan dengan adakala sahaja kita dapat lihat kerancakan cuba dijana. Belum diceritakan tentang isu kecederaan yang menganggu perlawanan.

Kedah paling banyak menghadapi isu ini apabila mereka kehilangan beberapa tonggak seperti Renan Alves, Syazwan Tajudin dan Ifwat Akmal. Di kem JDT pula kelihatan Safawi Rasid dan pemain paling kental, Corbin Ong mengadu mengalami kecederaan.

Oleh itu, aksi Sumbangsih malam tadi boleh dikatakan tidak segah sebelum ini dengan kedua-dua pasukan masih memburu tahap kecergasan yang maksimum.

2. Barisan bek tempatan oleh Kedah

Kali terakhir Kedah turun dalam aksi Sumbangsih dengan membariskan pertahanan tempatan adalah pada edisi 2018 ketika dibawah kendalian Ramon Marcote. Jelas, Aidil Sharin juga memiliki keberanian itu – berpunca daripada ketiadaan Renan Alves.

Pada edisi yang dimenangi JDT dengan keputusan 2-1 itu, Ramon Marcote dengan beraninya meletakkan Khairul Helmi, Syazwan Tajudin, Rizal Ghazali dan Ariff Farhan Md Isa dalam kesebelasan utama dan kali ini ia giliran Aidil Sharin pula.

Pengendali kelahiran Singapura itu menurunkan gandingan Syazwan Tajudin dan Rodney Calvin di bek tengah, Rizal Ghazali dan Fairuz Zakaria di bek kanan serta kiri. Ketiadaan Ariff Farhan juga memaksa bek kanan, Fairuz Zakaria beralih posisi.

Apa yang dapat dilihat, Fairuz Zakaria yang kembali semula menyertai Kedah daripada Penang FC musim ini sedikit bergelut dalam merantai Pemain Tengah Terbaik Liga Malaysia musim 2020, Safawi Rasid, namun Aidil Sharin menyediakan pelan kedua apabila dilihat memadatkan kawasan defensive third skuad kendaliannya.

Kekurangan yang dimiliki barisan benteng yang ‘mentah’ itu berjaya ditutup baik oleh Anumanthan Mohan dan Baddrol Bakhtiar yang akan turut sama turun membantu rakan-rakan di benteng. Ini yang telah menyukarkan JDT sedikit, malam tadi.

3. Pemain tempatan meledak jaringan

Sudah tiga musim, aksi Piala Sumbangsih dihiasai kecemerlangan pemain import dalam menghasilkan gol dan kali ini, giliran dua pemain skuad kebangsaan iaitu Safawi Rasid dan Natxo Insa untuk menghiasi dan menghadiahkan malam indah buat JDT.

Safawi Rasid yang kembali semula daripada pinjaman singkatnya ke liga utama Portugal bersama Portimonense SC mempamerkan sudut dan aksi berlainan dalam permainannya. Beliau kini sangat selesa melakukan percubaan dalam ruang sempit.

Itu yang ditonjolkannya malam tadi dan salah satu percubaannya dalam ruang sempit berjaya mencetak gol buat tuan rumah. Gol pada minit ke-35 itu bermula daripada sepakan penjuru yang diambil oleh Gonzalo Cabrera sebelum ia menemui Afiq Fazail untuk dihantar kepada Safawi Rasid bagi menyudahkannya, menewaskan Ifwat Akmal.

Pemain kacukan Malaysia-Sepanyol, Natxo Insa pula hadir untuk gol kedua skuad Harimau Selatan pada minit ke-68. Ramai tidak menjangkakan beliau akan tersenarai apabila lagenda JDT, Safiq Rahim kembali ke dalam pasukan itu musim ini.

Dan bukan sahaja tersenarai dalam kesebelasan utama, Natxo Insa mempamerkan sentuhan memukau dengan rembatan leret deras daripada luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol gantian skuad Hijau Kuning, Shahril Sa’ari.

Itu adalah gol pertamanya sejak kali terakhir meledak gol dalam aksi Liga Super pada musim 2018 – menang 2-1 ke atas Kelantan pada April 2018.

4. JDT pertahankan Piala Sumbangsih untuk tahun ke-4

Jelas, JDT kian sukar digugat. Biarpun tidak cergas sepenuhnya, mereka berjaya mempamerkan dominasi perlawanan seterusnya menjulang kejuaraan Piala Sumbangsih. Ini adalah tahun ke-4 buat mereka sejak kembali meraihnya pada 2018.

Seperti yang ramai katakan, ia adalah satu kegagalan buat JDT jika tidak meraih tiga mata dalam setiap perlawanan dek kerana kualiti pemain yang mereka miliki musim ini. 30 pemain yang disenaraikan musim ini adalah sangat berkualiti.

Mereka tiada posisi yang lemah sebagaimana Kedah yang musim ini dilihat memiliki sedikit masalah di benteng. Kedah kehilangan beberapa tonggak utama pasukan dan ini sebenarnya telah mengganggu persediaan Aidil Sharin musim ini.

Shakir Hamzah, Khairul Helmi, Azmeer Yusof, Alif Yusof, Norfiqrie Talib adalah antara korban mereka untuk melangkah ke musim 2021 dan ia hanya berjaya ditambah baik beberapa hari sebelum berdepan JDT, tetapi Renan Alves pula tidak cergas.

Kemenangan ke atas Kedah dalam aksi Sumbangsih dan juga tiga mata pertama Liga Super 2021 ini memberikan signal kepada pasukan lain, anda adalah yang seterusnya!

5. Aksi pertama Sumbangsih tanpa penyokong 

Mungkin ini adalah antara perlawanan pembukaan musim baharu Liga M paling tidak meriah apabila Stadium Sultan Ibrahim hanya dihiasai lampu-lampu gemilang, Biru Merah. Penyokong masih tidak dibenarkan untuk hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, tahun lalu.

Musim lalu, Stadium Sultan Ibrahim diriuhkan dengan sorakan lebih 34 ribu penyokong pada penghujung Februari sebelum COVID-19 telah merencatkan saingan Liga Malaysia bermula Mac. Dan apabila saingan kembali bersambung pada Ogos 2020, para penyokong sudah tidak dibenarkan untuk hadir ke stadium.

JDT mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih mereka tanpa kehadiran pemain ke-12 mereka dan ini dijangka akan berterusan untuk sekurang-kurangnya dua bulan.

Baru-baru ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelaskan yang pihak mereka akan mengemukakan permohonan untuk penyokong masuk ke stadium selepas dua bulan saingan Liga Malaysia musim ini kembali berlangsung.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, “Saya perlu mengambil masa meneliti untuk memberi gambaran dan keyakinan kepada MKN supaya mereka dapat melihat bahawa SOP dengan membawa penonton ke stadium tidak memberi kesan kepada gelembung sukan yang sudah dibina untuk pemain.”

KREDIT FEATURED IMAGE: JST

Baca lagi artikel lain mengenai JDT dan Kedah:

Piala Sumbangsih 2021: JDT Kekalkan Kejuaraan, Mudah Benam Kedah

Menjelang Aksi Piala Sumbangsih Berdepan JDT, Renan Alves ‘Hilang’ Lagi

Benjamin Mora Mahu JDT Kalahkan Kedah Dalam Masa 90 Minit

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply