Piala Malaysia: Terengganu Terlalu Unggul Buat Selangor

Terengganu Selangor Piala Malaysia

Terengganu meneruskan rentak cemerlangnya dalam aksi Piala Malaysia selepas menewaskan Selangor 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk memastikan mereka selesa mendahului kumpulan B dengan enam mata.

Skuad kendalian Nafuzi Zain itu bijak menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mendapatkan gol pendahuluan pada minit ke-22 menerusi Dechi Marcel.

Ia bermula dari gerakan oleh Faisal Halim di bahagian tengah dengan melorongkan bola kepada pemain import Ivory Coast tersebut lalu percubaannya dari luar kotak penalti terkena tiang dan terus menerjah ke jaring.

Selangor terpaksa membuat pertukaran awal selepas Syahmi Safari tidak dapat meneruskan perlawanan kerana mengalami kecederaan dan digantikan oleh A. Namathevan.

Barisan pertahanan Selangor dilihat agak bergelut untuk mengawal kelincahan Faisal Halim dan penyerang import, Jordan Mintah yang beberapa kali berjaya membuat gerakan dan menghasilkan beberapa percubaan.

Sepanjang aksi di separuh masa pertama, Terengganu jelas jauh lebih kompak dalam menggerakkan serangan menerusi gerakan berpasukan sementara corak permainan Selangor pula lebih tertumpu kepada kepada penyerang utamanya Ifedayo Olusegun untuk menghasilkan jaringan.

Ketua Jurulatih Selangor, Karsten Neitzel yang cuba memperbaiki keadaan membuat dua lagi pertukaran sebelum memulakan babak kedua dengan memasukkan R. Dinesh dan Nor Hakim Hassan yang menggantikan Jordan Ayimbila dan Sean Selvaraj.

Tetapi Terengganu yang masih mengekalkan barisan pemain yang sama pula berjaya menghasilkan gol kedua pada minit ke-51 dengan Faisal Halim sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pertahanan Selangor dengan membuat larian di sebelah kiri sebelum menolak bola kepada Lee Tuck yang mudah menewaskan Khairul Azhan.

Selangor akhirnya mendapatkan gol pertama pada minit ke-75 menerusi Ashmawi Yakin yang bijak mengambil kesempatan dengan tindakan susulan dari bola muntah selepas percubaan Wan Zack Haikal ditampan oleh penjaga gol Suhaimi Husin.

Selangor hampa selepas terpaksa pulang dengan tangan kosong dan ia merupakan kekalahan ketiga mereka kepada skuad penyu pada musim ini selepas turut tewas kepada lawan yang sama dalam dua perlawanan Liga Super.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply