Piala Malaysia 2020: Terengganu FC Ke Suku Akhir Walaupun Dipalit Isu ‘Line’ Hilang

Sanjar Shaakhmedov Lee Tuck Terengganu FC PJ City Piala Malaysia mara suku akhir

Jaringan tunggal Sanjar Shaakhmedov membawa Terengganu FC mara ke suku akhir TM Piala Malaysia 2020, menewaskan PJ City FC dengan keputusan 1-0.

Aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bermula lewat angkara satu kesilapan yang sepatutnya tidak berlaku dalam mana-mana perlawanan bola sepak iaitu garisan tepi padang tidak jelas kelihatan sebelum perlawanan pusingan pertama dimulakan oleh pengadil. Perlawanan hanya kembali bermula kira-kira 30 minit kemudian.

Ia menimbulkan pelbagai persoalan bagaimana perkara sebegitu boleh berlaku dalam aksi bola sepak dan adakah komisioner perlawanan tidak membuat pemeriksaan terlebih dahulu. Ini bukan sahaja mengganggu perlawanan, ia juga sebenarnya menjejaskan reputasi Terengganu FC sebagai tuan rumah dan pasukan yang gah.

Jelas kesilapan tidak terduga itu terus dibawa ke dalam aksi perlawanan malam ini. Ia bukanlah sebagaimana perlawanan yang berlangsung semalam yang lebih rancak dalam setiap serangan yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan bertanding.

PJ City bermain dengan baik dari segi bertahan dengan mereka dilihat memadatkan zon defensif third mereka dan hanya berminat untuk membuat serangan balas ke kawasan lawan. Masalah Terengganu FC pula adalah tiada sentuhan baik dalam setiap serangan dengan jentera tengah tiada inisiatif untuk memecah blok padat pelawat.

Mujur buat Sang Penyu apabila pertahanan PJ City, Kim Bong-jin melakukan kesilapan besar dengan membuat hantaran terus kepada Sanjar Shaakhmedov yang berada di dalam kotak penalti mereka. Pemain asal Uzbekistan itu mudah untuk membuka tirai jaringan selepas berjaya menewaskan Kalamullah Al-Hafiz pada minit ke-37.

Peluang terbaik pelawat untuk membuka tirai jaringan sebelum jaringan Sanjar Shaakhmedov adalah menerusi D. Kugan yang mana rembatan derasnya berjaya ditepis cemerlang oleh penjaga gawang Terengganu, Rahadiazli Rahalim.

PJ City memiliki lagi peluang terbaik selepas jaringan pendahuluan tuan rumah menerusi tandukkan Washington Brandao namun sekali lagi Rahadiazli Rahalim menjadi penyelamat buat Terengganu apabila tenang menyelamatkannya.

Cubaan pengendali PJ City, K. Devan memasukkan beberapa pemain untuk mengubah nasib mereka gagal menuaikan hasil. Antara pemain-pemain yang dipertaruhkan tersebut adalah R. Kogileswaren, K. Kannan, Safee Sali dan Mahali Jasuli.

Rahadiazli wajar diangkat sebagai pemain terbaik buat Sang Penyu apabila sekali lagi menyelamatkan rembatan deras R. Kogileswaren pada minit ke-88. Jelas PJ City sangat terdesak dalam memburu jaringan penyamaan ke atas tuan rumah.

Ini merupakan kali ketiga berturut-turut Terengganu layak ke peringkat suku akhir dan dijadualkan akan bertemu Perak. Musim lalu, langkah mereka terhenti di suku akhir apabila mereka dikecewakan oleh juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).

KREDIT FEATURED IMAGE: MFL

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply