Piala Malaysia 2020: Hatrik ‘Budak Nakal’ Beri Kemenangan Selesa Buat Perak

Perak

Perak tidak berdepan masalah untuk melangkah ke peringkat suku akhir TM Piala Malaysia 2020 selepas mudah menundukkan Kelantan United 4-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Perak, sebentar tadi.

Pemain yang cukup sinonim dengan perwatakan ‘nakal’ di atas padang, Leandro Dos Santos nyata menjadi tumpuan setelah pemain kelahiran Brazil itu berjaya meledakkan hatrik pada perlawanan pusingan pertama ini.

Perak yang memburu mahkota kejuaraan kesembilan saingan tertua Asia itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Leandro menanduk masuk bola selepas menerima hantaran sepakan sudut diambil Muhammad Firdaus Saiyadi seawal minit ketujuh.

Jaringan itu jelas meningkatkan lagi moral anak buah Mehmed Durakovic itu untuk terus mendominasi permainan dan hampir menambah jaringan susulan hantaran lintang cantik daripada Raianderson Da Costa Morais (Careca).

Peluang itu bagaimanapun disia-siakan berikutan kegagalan Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi yang berada di hadapan pintu gol Kelantan United untuk menguis bola manakala percubaan susulan daripada J. Partiban pula berjaya dihalang pemain pertahanan pasukan lawan.

Penguasaan berterusan Perak berupaya menghadirkan jaringan kedua pada minit ke-21 apabila hantaran ‘backheel’ daripada Shahrel Fikri memberikan peluang buat Leandro untuk melakukan percubaan ‘placing’ dalam kawasan penalti yang sekali gus menewaskan penjaga gol, Muhamad Syazwan Yusoff.

Hanya selepas tiga minit aksi separuh masa kedua kembali bersambung, Leandro melengkapkan hatrik setelah beliau dengan mudah menghulurkan kakinya bagi menolak masuk hantaran lintang leret daripada Careca bagi mengukuhkan kedudukan.

Kelantan United yang sesekali cuba untuk melakukan percubaan hampir mendapatkan jaringan pada minit ke-53 menerusi Mohammad Alif Romli.

Ledakan jarak jauh ketika beliau melihat penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy sudah berada sedikit keluar dari posisinya bagaimanapun sekadar singgah di palang gol.

Tidak cukup dengan kelebihan dimiliki, Perak menambah jaringan keempat menerusi Careca pada masa kecederaan selepas beliau melepasi kawalan dua pemain pertahanan Kelantan United dan kemudiannya melakukan percubaan yang sekali lagi membolosi gawang lawan tersebut.

Kedudukan 4-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk Perak menanti pemenang antara Terengganu FC (TFC) menentang Petaling Jaya (PJ) City yang dimulakan sedikit lewat sebentar tadi pada aksi suku akhir nanti.

Kredit featured image: Perak TBG

 

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply