Piala Malaysia 2019: Tchetche Kipre Penting Untuk Saya, Ujar Nafuzi Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
tchetche kipre

“Tchetche (Kipre) adalah pemain yang penting untuk saya,” ujar pengendali sementara Terengganu FC, Nafuzi Zain mengenai peledak hatrik yang telah membantu mereka meraih kemenangan ketiga berturut-turut di saingan Piala Malaysia 2019, pada Sabtu.

Terengganu FC berjaya menewaskan Negeri Sembilan di Kuala Terengganu dengan keputusan 3-1, melengkapkan 9 mata penuh buat mereka di pusingan pertama peringkat kumpulan kali ini.

Sebelum itu, mereka berjaya menewaskan PKNS FC 3-1 pada aksi pertama dan menang 2-0 ke atas Kedah, dua kemenangan yang telah membantu mengangkat moral pasukan seperti yang dinyatakan oleh kapten pasukan, Lee Tuck sebelum ini.

Tchetche Kipre menjadi watak penting buat Sang Penyu dalam perlawanan tersebut bermula sejak wisel permulaan apabila tampil mengasak gawang Negeri Sembilan yang dikawal Fadzley Rahim. Cuma rezeki tidak memihak kepadanya apabila kerap kali dikecewakan oleh ketangkasan penjaga gawang itu.

Kali terakhir penyerang kelahiran Ivory Coast itu menjaringkan hatrik untuk satu-satu perlawanan adalah pada musim lalu ketika membelasah Kuala Lumpur 5-1 juga dalam saingan Piala Malaysia pada Ogos 2018. Kecemerlangan itu yang memimpin Terengganu FC sehingga ke pentas final – penjaring terbanyak dengan 9 gol.

Nafuzi Zain

Walaubagaimanapun, musim ini tampak sedikit suram buat dirinya apabila hanya meledak 6 gol dalam saingan Liga Super berbanding 14 gol pada musim 2018 dan mungkin ini adalah satu signal buat semua pasukan yang Tchetche Kipre sudah kembali?

“Sebagai seorang penyerang, saya gembira dia menjaringkan tiga gol walaupun sebelum ini dia tidak menjaringkan gol. Tetapi saya tahu dia mempunyai impak besar (kepada pasukan).

“Saya yakin yang satu masa dia akan jaringkan gol,” ujar Nafuzi Zain yang ditemui media sejurus perlawanan berakhir.

Bercakap mengenai kemenangan Terengganu FC ke atas Negeri Sembilan, pengendali berusia 42 tahun itu menganggap ia adalah satu perlawanan yang sukar terutamanya ketika pelawat berhasil menjaringkan gol pertama menerusi Igor Luiz di minit ke-67.

Tekanan demi tekanan telah diberikan oleh Negeri Sembilan selepas kemasukkan pemain-pemain gantian namun akhirnya jaringan ketiga Tchetche Kipre di minit ke-87 menoktahkan perjuangan lawan untuk membawa pulang satu mata.

Kredit foto: Terengganu Football Club