Piala Malaysia 2019: PKNP FC Idam Raih Mata Pada Aksi Berdepan JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
PKNP FC

PKNP FC bakal melengkapkan aksi pusingan pertama peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia 2019 apabila dijadualkan menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada malam ini di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak.

Masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas UiTM FC di Shah Alam tempoh hari, PKNP kini berada di tahap terbaik dan bertekad mahu menjadi batu penghalang buat JDT daripada mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir lebih awal.

JDT setakat ini sudahpun mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan dengan mencatat kemenangan 3-1 ke atas UiTM FC dan 4-2 ketika menentang PJ City FC.

Dua kemenangan tersebut meletakkan kedudukan JDT di tangga teratas kumpulan B dan mencerahkan peluang mereka untuk ke peringkat seterusnya.

Dalam temubual bersama wartawan Utusan Malaysia, Ketua Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menyatakan, anak buahnya tidak gentar dengan rekod kemenangan JDT itu dan tidak akan sesekali memberi laluan mudah kepada pasukan pilihan berkenaan.

Sekalipun akan bermain sebagai pasukan bukan pilihan, beliau yakin kemenangan ke atas UiTM membuktikan pasukannya telah menemui rentak permainan yang terbaik dan mampu memberi saingan kepada JDT.

“Penting untuk kami dapatkan mata walaupun bermain di laman sendiri bukan satu jaminan buat PKNP FC kerana tugas berat menanti kami, bertemu dengan JDT.”

”Jika JDT berjaya menewaskan kami, mereka boleh dikatakan sudah sebelah kaki ke suku akhir namun kami tidak mahu perkara tersebut berlaku,”

Sedar dengan kelebihan yang dimiliki oleh lawan mereka yang dibarisi pemain bintang, bekas pemain dan jurulatih Perak itu mengingatkan pemainnya agar sentiasa berwaspada dengan ancaman pasukan yang telah meraih kejuaraan Liga Super enam kali berturut-turut itu.

“Pemain perlu menimba pengalaman menentang JDT terutamanya pemain pertahanan kami untuk menyekat kemaraan jentera serangan JDT yang mempunyai pemain import dan tempatan yang berkualiti,” katanya lagi.

Kredit foto: PKNP FC