Piala Malaysia 2019: Saya Bukan Penyelamat Pasukan, Sanggah Zaquan Adha

Zaquan Adha Kedah Pahang Piala Malaysia

Penjaring gol penyamaan buat Kedah untuk mengikat Pahang dengan keputusan 3-3 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Zaquan Adha Abd Razak mengakui untuk Piala Malaysia 2019, fokus latihannya adalah di posisi penyerang.

Sebagaimana yang diketahui ramai, majoriti penyerang negara telah beralih ke posisi sayap menyerang seperti Norshahrul Idlan Talaha disebabkan kemasukkan penyerang-penyerang import dan untuk kekal relevan, mereka perlu berani untuk bertukar posisi.

Kali terakhir Zaquan Adha beraksi selaku penyerang semestinya ketika menyarung jersi skuad kebangsaan iaitu ketika di pentas final Kejohanan AFF 2018 – tewas 0-1 kepada Vietnam.

“Akhir-akhir ini terutamanya dalam Piala Malaysia, ketika latihan, saya diletakkan sebagai penyerang. Dan kali terakhir saya bermain sebagai penyerang adalah ketika bersama skuad kebangsaan.

“Di sini [Kedah], selalunya, daripada awal tahun saya bermain di posisi sayap menyerang dan untuk Piala Malaysia ini kebanyakkan dari segi taktikal ataupun latihan, saya lebih kepada penyerang,” jelas penyerang berusia 32 tahun itu dalam sidang media.

Dimasukkan menggantikan penyerang utama, Fernando Rodriguez yang telah meledak dua gol menuju 10 minit terakhir dan Kedah sedang ketinggalan 2-3, Zaquan Adha menggunakan segala yang ada padanya untuk memburu jaringan penyamaan buat Kedah.

Ianya berhasil apabila siri tandukkan antara dua pemain Kedah menemuinya di far post untuk disudahkan juga dengan tandukkan menewaskan Helmi Eliza Elias pada minit ke-94 perlawanan.

“Bagi saya, jika diletakkan di posisi mana sekalipun, saya perlu berikan aksi yang terbaik. Ya, saya memang bermain sebagai penyerang di awal penampilan saya dulu, tetapi saya perlu akui dalam masa sekarang, kita mempunyai pemain import.

“Jadi, jika diberi peluang di posisi mana sekalipun, saya perlu beri yang terbaik. Yang penting komitmen dalam padang dan beri 100 peratus, tidak kira posisi saya suka atau tidak suka, kalau diberi tanggungjawab, saya akan buat yang terbaik,” jelasnya.

Selain itu, penyerang yang memiliki 12 jaringan antarabangsa itu juga menolak kenyataan bahawa dirinya selaku wira pasukan pada aksi menentang Pahang itu sebaliknya ianya hasil usaha semua.

“Saya bukan penyelamat pasukan. Yang penting pasukan bekerja keras sehingga minit yang terakhir dan rezeki untuk saya menjaringkan gol pada minit terakhir,” ujarnya lagi.

Kredit Featured Image: Arena HijauKuning

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram