Piala Malaysia 2019: Pahang Buru Gol di Tempat Lawan

Saingan Piala Malaysia akan kembali menghangatkan arena bola sepak negara pada minggu ini di mana Pahang akan bertandang ke Alor Setar berdepan Kedah untuk perlawanan separuh akhir pertama pada Sabtu ini.

Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengingatkan pemainnya agar melupakan rekod pertemuan di antara kedua pasukan sebelum ini sekalipun ia berpihak kepada pasukannya.

Dalam saingan Liga Super musim ini, Pahang berjaya menundukkan Kedah 1-0 di laman sendiri sebelum berjaya meraih satu mata di Alor Setar untuk perlawanan berikutnya.

“Memang Pahang memiliki kelebihan berdasarkan dua perlawanan itu tetapi saingan Piala Malaysia terutama di separuh akhir adalah pentas berbeza.” kata Dollah kepada Berita Harian.

“Sebab itu saya mahu pemain mengekalkan prestasi seperti dipersembahkan pada peringkat kumpulan dan suku akhir jika mahu ke final.

“Saya harap pemain disenaraikan nanti dapat bermain dengan cemerlang dan membawa bekalan selesa apabila bertemu sekali lagi di Kuantan pada 26 Oktober ini,” tambahnya lagi.

Pengendali Pahang itu turut disoal mengenai penglibatan dua pemain import, Safuwan Baharudin (Singapura) dan Saddil Ramdani (Indonesia) bersama skuad kebangsaan masing-masing untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2022.

Jurulatih berusia 55 tahun itu mengesahkan Safuwan akan tiba dan kembali berlatih bersama pasukan esok. Sementara Saddil pula masih belum memberi kepastian mengenai jadual penerbangannya dan dijangka diketahui esok.

“Saya difahamkan penerbangan Saddil esok atau Jumaat ini memandangkan kali ini skuad Indonesia bermain di Bali. Tapi, Safuwan sah bersama skuad Tok Gajah, esok.

“Tapi, saya percaya jika Saddil tidak dapat bersama pasukan di Alor Setar Sabtu ini, pemain lain boleh memikul tugas diberikan,” katanya.

Kedah bukanlah calang-calang pasukan kerana pasukan tersebut memegang status juara Piala FA. Musim lepas Pahang terkandas di peringkat suku akhir selepas ditewaskan JDT 3-1 secara agregat.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram