Quantcast

BERITA

Piala Malaysia 2019: Nidzam Gembira Dengan Sikap Pemain Bantu Felda United Atasi Melaka

Kejayaan 3-1 Felda United menundukkan Melaka United malam tadi bukan sahaja menghadiahkan kemenangan sulung buat skuad bimbingan Nidzam Jamil itu.

Ia turut menjadikan persaingan Kumpulan D Piala Malaysia 2019 kembali terbuka luas buat keempat-empat pasukan (termasuk Selangor dan PDRM).

Mengulas mengenai aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat itu, Nidzam nyata gembira melihat sikap yang ditampilkan anak buahnya dalam meraih tiga mata penuh.

”Saya rasa aksi malam ini adalah perlawanan yang baik buat kedua-dua pasukan. Melaka adalah pasukan yang sangat berpengalaman. Kita tewas kepada mereka di sana (Jengka), di sini kita cuba untuk bersaing.”

”Kita datang sini cuba untuk bersaing dengan Melaka. Dalam masa yang sama kita mahu jadikan Kumpulan D ini lebih mencabar. Jadi, memang kita mahu cuba menang supaya kita mendapat cuti tiga minggu yang lebih bermakna kerana kita masih mempunyai objektif ingin dikejar.”

”Saya rasa kita berjaya capai objektif. Fokus pemain juga lebih baik. Sepanjang saya di sini (Felda) kita pernah kalah enam gol, mendahului tiga gol dan kemudiannya tewas empat gol di stadium ini tetapi hari ini kita menang. Secara peribadi kita gembira dan saya rasa para pemain juga gembira.”

Ketika ditanya wartawan dalam sidang media selepas perlawanan, adakah kecederaan beberapa pemain utama Melaka menjadi faktor kebangkitan Felda, ini respon daripada Nidzam:

”Itu juga adalah merupakan antara faktor juga, kita nampak Patrick Reichelt cedera, pemain pertahanan tengah, Jang (Suk Won) juga mengalami kecederaan dan beberapa pemain lagi.”

”Itu antara faktor juga tetapi saya tak boleh nak komen apa yang berlaku di pasukan Melaka, cuma sesiapa sahaja pemain yang mereka letakkan kita terpaksa membalas taktik mereka.”

”Saya cuma beruntung kita mempunyai (Khairul) Amri, Daniel (Amier), Hadin (Azman) untuk malam ini, mereka mengubah perlawanan. S. Chanturu, Wak (Jasazrin Jamaludin) dan dua pertahanan tengah, saya rasa beruntung kerana mempunyai sekumpulan pemain ini dimana mereka tahu bila untuk catat kemenangan pada waktu ‘seram-seram’ begini.”

”Sudah banyak kali berlaku seperti ini, jadi ia sangat baik. Saya sangat gembira dengan sikap pemain malam ini,” ujar Nidzam Jamil lagi.

Baki dua perlawanan yang bakal dilalui Felda United adalah bertemu PDRM dan Selangor di laman sendiri pada 14 dan 18 September nanti.

Kredit foto: Melaka United & Felda United FC