Piala Malaysia 2019: Ledakan Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera Bawa JDT Ke Separuh Akhir

Gonzalo Cabrera JDT Terengganu Piala Malaysia

Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak memberi muka kepada finalis edisi lalu, Terengganu FC dalam suku akhir kedua Piala Malaysia 2019 apabila menang 4-1 di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, untuk gah melangkah ke separuh akhir dengan agregat 5-1.

Percaturan pelawat membawa masuk Ilham Amirullah dan Khairul Izuan Rosli dalam aksi penting ini memakan diri apabila kedua-dua pemain tersebut langsung gagal memberi impak tambahan.

Untuk menyukarkan tugas Terengganu FC pada malam ini adalah rekod JDT di Larkin itu sendiri. Kali terakhir JDT tewas di Larkin dalam kempen Piala Malaysia adalah ketika tewas 1-2 kepada PJ City FC pada Ogos 2018 dalam saingan peringkat kumpulan.

Ia menjadi kenyataan dan satu mimpi buruk buat Terengganu FC apabila tewas dengan keputusan besar kepada JDT di saat mereka mahukan kemenangan tipis bagi melangkah ke separuh akhir.

Permulaan babak pertama menyaksikan JDT berjaya mengasak Terengganu dengan dua percubaan awal yang gagal menguji Ilham Amirullah, yang kembali tersenarai selepas tersisih dalam lima perlawanan selepas insiden layangan kad merah di aksi kedua peringkat kumpulan Piala Malaysia ketika menentang Kedah.

Safawi Rasid JDT Terengganu Piala Malaysia
FOTO: JST

Percubaan pertama JDT dilakukan oleh Safawi Rasid iaitu di minit ke-7 selepas melepasi kawalan dua pertahanan namun sedikit lemah dan mudah diselamatkan oleh Ilham Amirullah dan Safawi Rasid hadir sekali lagi seminit kemudian, namun rembatan derasnya di depan gol sekadar melewati palang gol lawan.

Minit ke-16, Gonzalo Cabrera meletakkan JDT di depan hasil sepakan penalti selepas Nasrullah Haniff mengasari Corbin Ong di dalam kotak penalti ketika sepakan percuma diambil tuan rumah – jaringan kelima peribadinya dalam kempen Piala Malaysia.

Perlawanan seakan-akan mula menjadi panas apabila beberapa keputusan pengadil dilihat memihak kepada tuan rumah dengan beberapa sepakan percuma dihadiahkan pengadil berhampiran kawasan gol Sang Penyu. Namun, JDT gagal menyudahkannya.

Safawi Rasid berjaya mengubati kekecewaan awalnya apabila berhasil meledak gol kedua buat JDT menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-22 dengan Ilham Amirullah hanya mampu memerhatikan bola tersebut menggegar jaringnya.

Terengganu yang pada awalnya tampil mengasak Harimau Selatan di minit ke-3 menerusi Tchetche Kipre, kembali mengasak semula di minit ke-29 menerusi sepakan percuma yang diambil oleh kapten, Lee Tuck, namun tandukkan akhir Nasrullah Haniff di depan gawang yang dikawal Farizal Marlias hanya tersasar jauh.

Minit ke-36, JDT terus menggandakan kedudukan apabila Safawi Rasid berjaya menjaringkan gol ketiga hasil umpanan lambung oleh Diogo ke dalam kotak penalti, menewaskan Ilham Amirullah untuk gol ke-7 peribadinya dalam kempen Piala Malaysia.

Tiga minit kemudian, Sang Penyu dihukum lagi dan kali ini giliran Gonzalo Cabrera pula menyudahkan hantaran rendah Corbin Ong dari sebelah kanan gol, yang melewati beberapa pertahanan termasuk penjaga gol pelawat yang gagal membacanya.

Terengganu tampak sangat bergelut untuk sekurang-kurangnya memegang lebih lama penguasaan bola namun sebelum berakhir babak pertama, Lee Tuck berjaya meledak gol pertama dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Tchetche Kipre.

Bermula babak kedua, Harimau Selatan masih bernafsu memburu gol biarpun selesa mendahului perlawanan dengan mengekalkan tempo permainan dan masih menekan benteng Sang Penyu.

Leandro Velazquez mensia-siakan peluang terbuka di minit ke-47 untuk menambah jurang gol dengan percubaan tersasar di depan gawang pelawat sebelum tandukkan pertahanan, Mauricio seminit kemudian hasil sepakan penjuru juga sekadar jauh tersasar.

Tchetche Kipre Corbin Ong JDT Terengganu Piala Malaysia
FOTO: JST

Terengganu FC belum mengalah sepenuhnya biarpun jurang gol yang besar dengan masih cuba mengatur asakan ke benteng tuan rumah namun kelonggaran kombinasi di final third mengecewakan anak didik Nafuzi Zain ini sejak dari permulaan perlawanan.

Menuju 20 minit sebelum wisel penamat, JDT mula mengurangkan tekanan kepada pelawat dengan hanya mengekalkan penguasaan bola sementara Terengganu FC pula cuba untuk terus bersaing.

Minit ke-83, pertahanan pelawat, Serhii Andrieiev melepaskan peluang di depan gawang Farizal Marlias selepas menerima hantaran Tchetche Kipre yang berhasil menewaskan beberapa pertahanan tuan rumah. Itu adalah peluang terakhir buat Terengganu FC dalam perlawanan pada malam ini.

Kemenangan ini membolehkan JDT mara ke separuh akhir dengan agregat 5-1, mengulangi pencapaian musim lalu dan akan menanti pemenang antara Perak dan Selangor yang akan beraksi esok.

Kredit Featured Image: Johor Southern Tigers (JST)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN