Piala Malaysia 2019: Langkah Kanan Buat Perak, Rakam Kemenangan 3-0 Keatas Sabah

Perak

Perak seolah-olah pantas melupakan kehampaan pada aksi final Piala FA minggu lalu setelah mencatatkan kemenangan 3-0 keatas Sabah pada aksi sulung saingan Piala Malaysia 2019 di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.

Tidak banyak yang dapat diperkatakan mengenai aksi pada keseluruhan babak pertama walaupun Perak lebih mendominasi permainan.

Gerakan yang cuba dirangka anak buah Mehmed Durakovic itu juga kelihatan mudah dipatahkan jentera pertahanan Sabah.

Manakala skuad Tambadau pula lebih memfokuskan pada serangan balas pantas dan ‘setpiece’ bagi mengancam kubu Perak.

Walaupun tidak banyak gerakan berbahaya dapat dicipta tetapi Careca hampir meletakkan Perak dihadapan pada minit ke-22 apabila tandukannya berjaya dikeluarkan di atas garisan gol oleh Evan Wensley Wenceslaus.

Tandukan Ronaldo Henrique Silva hasil hantaran baik daripada Nazirul Naim Che Hashim juga sedikit tersasar.

Keampuhan benteng Sabah akhirnya berjaya ditembusi pada minit ke-45 selepas Brendan Gan meledakkan rembatan separa voli dari luar kawasan penalti yang terus menerjah gawang Sabah.

Memasuki babak kedua, Perak terus menguasai permainan dalam usaha menambah kelebihan jaringan. Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-51.

Berpunca daripada gerakan cantik pemain pertahanan kanan, Mohamad Idris Ahmad dari sebelah kiri pintu gol Sabah, Careca meledakkan rembatan kaki kiri padu untuk menghadiahkan gol kedua buat tuan rumah.

Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, pemain ‘nakal’ Perak, Leandro Dos Santos Oliveira menambah jaringan ketiga  apabila beliau dengan mudah menolak masuk bola susulan tandukan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang ditepis keluar Rozaimie Rohim.

Kemenangan 3-0 itu meletakkan Perak ketika ini di tangga teratas saingan kumpulan C, berkelebihan defisit jaringan berbanding Pahang yang turut mengumpul tiga mata.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram