Piala Malaysia 2019: K. Devan Akui Ini Satu Pengalaman Pahit Buat PJ City

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
K. Devan PJ City PKNP FC Piala Malaysia

“Ia satu pengalaman pahit buat PJ City,” tutur pengendali PJ City FC, K. Devan sejurus menyaksikan skuadnya tewas 0-3 kepada PKNP FC dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Piala Malaysia 2019, seterusnya terlepas tiket untuk mara ke suku akhir.

PJ City hanya memerlukan keputusan seri untuk layak, namun setelah dua kali perlawanan ini ditunda akibat masalah kesihatan pemain-pemain The Phoenix, ia mungkin sedikit sebanyak telah menjejaskan momentum pasukan secara keseluruhannya.

PJ City menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga dengan sembilan mata, hanya dipisahkan satu mata dengan PKNP FC yang melonjak ke kedudukan kedua untuk mengesahkan slot di suku akhir – mengulangi pencapaian pada edisi 2017.

Begitupun, K. Devan menafikan punca kekalahan dalam aksi yang berlangsung di Stadium MP Manjung itu berpunca daripada tahap kecergasan dan kesihatan para pemainnya sambil menjelaskan kekurangan adalah dari aspek taktikal dan pertahanan pasukan.

“Tidak. Mereka telah memberi yang terbaik. Tetapi hari ini mungkin kita (prestasi) tidak begitu baik berbanding dengan sebelum ini.

“Kita banyak membuat kesilapan di bahagian pertahanan dan gol awal oleh PKNP FC telah menjejaskan perancangan kita untuk perlawanan ini. Untuk mencari gol, kita terpaksa menyerang dan pada masa yang sama PKNP FC pula menjaringkan gol menerusi serangan balas,” tambahnya lagi mengenai perlawanan tersebut.

K. Devan turut memaklumkan di dalam sidang media itu, pemain-pemain yang diturunkan pada malam tadi telah pulih sepenuhnya dan hanya empat pemain masih belum pulih daripada virus itu.

“Ada empat pemain kita hantar balik, dua pemain utama iaitu K. Barathkumar dan K. Thivandran. Tidak boleh dikatakan sebab mereka (tewas). Masalah hari ini bukanlah dari segi ketiadaan pemain yang kena virus, tetapi dari segi taktikal,” jelasnya lagi mengenai status pemain yang dijangkiti Influenza B.

PKNP FC berjaya menjaringkan dua gol menerusi Yashir Pinto pada minit ke-9 dan ke-61 dan satu lagi gol dijaringkan oleh penyerang, Khairul Asyraf sebaik sahaja babak kedua bermula. PKNP FC akan melayan kunjungan Kedah pada Rabu untuk suku akhir pertama.

Kredit Featured Image: MFL Live