Piala Malaysia 2019: Hidangan Epik Di Darul Makmur, Kedah Akhirnya Melangkah Ke Final

Renan Alves Kedah Pahang Piala Malaysia

Epik! Hanya itu yang mampu diungkapkan tentang kemenangan Kedah ke atas Pahang dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 untuk melangkah ke pentas final selepas berjaya menewaskan Tok Gajah menerusi kelebihan gol di tempat lawan apabila terikat 5-5 di masa tambahan. Kedua-dua pasukan terikat dengan 3-3 dalam masa sebenar dan 8-8 secara agregat.

Ini merupakan kali pertama Pahang melepaskan lebih tiga gol di Darul Makmur musim ini dan tidak salah jika dikatakan yang ini merupakan perlawanan separuh akhir paling epik dan paling banyak jaringan dalam sejarah Piala Malaysia di dekad ini.

Beraksi di Stadium Darul Makmur seakan-akan tidak memberikan kelebihan buat Pahang apabila mereka gagal menterjemahkan setiap peluang terhidang dan Helang Merah pula memanfaatkan kelebihan sentuhan Baddrol Bakhtiar untuk memburu jaringan.

Percaturan Aidil Sharin mengekalkan skuad yang bangkit mengejar dua jaringan gol di Darul Aman membuahkan hasil apabila pemain sayap menyerang, Azamuddin Akil dilihat berusaha keras untuk merobek kubu tuan rumah dan beberapa kali berhasil sebelum tempatnya digantikan oleh Zaquan Adha pada minit ke-39.

Baddrol Bakhtiar yang kembali ke posisi awal musimnya di tengah bergandingan bersama Edgar Bernhardt tidak kekok malah beraksi baik dalam mengekang deretan asakan Pahang di babak pertama. Selain itu, kapten Kedah itu juga penting dalam merencanakan asakan ke final third Pahang menerusi hantaran jauhnya.

Pada minit ke-8, hasil umpanan Baddrol Bakhtiar daripada tengah padang menerusi sepakan percuma berjaya menemui Fernando Rodriguez yang langsung tidak dikawal seterusnya telah membuat sentuhan mudah menewaskan Helmi Eliza Elias. Herold Goulon dan Zubir Azmi gagal membaca lebih awal hantaran tersebut.

Pahang cuba bangkit mengejar namun gagal menemui jaringan penyamaan. Asakan demi asakan diatur barisan pemain Tok Gajah antaranya empat percubaan yang dicipta oleh Wan Zaharulnizam dan Herold Goulon yang tersasar dan rembatan Lazarus Kaimbi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal.

Fernando Rodriguez Kedah Pahang Piala Malaysia
FOTO: MFL

Dollah Salleh tidak membuat perubahan dalam kesebelasan utama apabila menggunakan barisan pemain yang sama ketika terikat 3-3 dalam separuh akhir pertama, Sabtu lalu biarpun empat pemainnya yang dikhabarkan telah kembali pulih daripada kecederaan.

Ifwat Akmal juga mempamerkan aksi terpuji sepanjang aksi babak pertama apabila beberapa kali menyelamatkan percubaan Pahang antaranya rembatan jarak jauh Dickson Nwakaeme di minit ke-28 dan tandukkan Mohamadou Sumareh dua minit berselang.

Namun kecemerlangan Ifwat Akmal akhirnya tercalar apabila hanya terpaku melihat percubaan Dickson Nwakaeme dari jarak jauh mengegar jaringnya pada minit ke-33. Bola yang dirembat oleh penjaring terbanyak Piala Malaysia itu terlebih dahulu terkena tiang gol sebelum menerjah gawang – jaringan ke-8 peribadinya.

Pahang lebih banyak mendominasi perlawanan dengan beberapa asakan diatur dan berterusan menekan benteng pelawat namun tiada gol tambahan mampu dicipta oleh jentera serangan. Kedah yang jarang-jarang mengasak hanya menanti serangan balas.

Baddrol Bakhtiar mempamerkan sentuhan baiknya sekali lagi apabila hantaran jauhnya berjaya menemui Zaquan Adha di sebelah sayap kanan sebelum bola tersebut menemui Jonatan Bauman untuk disudahkan sebagai gol kedua Helang Merah.

Gol di minit ke-55 itu adalah kesilapan bek kiri, Zubir Azmi yang gagal mengeluarkan bola di kaki Zaquan Adha dengan baik dan berjaya menemui penyerang berusia 28 tahun itu. Zubir Azmi lantas dikeluarkan dan Dollah Salleh memasukkan Faisal Rosli.

Tok Gajah juga membuat satu lagi pertukaran selepas itu apabila Zuhair Aizat dimasukkan menggantikan Saddil Ramdani dan barulah Pahang dilihat lebih tajam di hadapan gol lawan. Dua gol berjaya dihasilkan Pahang untuk memimpin perlawanan.

Lazarus Kaimbi Pahang Kedah Piala Malaysia
FOTO: MFL

Lazarus Kaimbi berjaya meledak gol penyamaan buat tuan rumah pada minit ke-71 dengan rembatan jarak dekat selepas menerima hantaran kemas kapten, Matthew Davies apabila pertahanan, Shakir Hamzah gagal mengeluarkan hantaran tersebut.

Lima minit kemudian, kelonggaran benteng Kedah dihukum lagi apabila lorongan Dickson Nwakaeme berjaya menemui Lazarus Kaimbi yang terlepas perangkap offside seterusnya merembat  menewaskan Ifwat Akmal untuk gol pendahuluan Pahang.

Ketika Pahang dilihat berpeluang melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia, Baddrol Bakhtiar muncul dengan jaringan ketiga dan penyamaan buat Helang Merah, seterusnya memadam kelebihan gol di tempat lawan yang dimiliki Pahang pada minit ke-84, untuk membawa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Gol tersebut sedikit menimbulkan kontroversi apabila bola yang dirembat pemain berusia 31 tahun itu menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti dikatakan belum melepasi garisan gol sebelum dikeluarkan oleh pertahanan tuan rumah, Faisal Rosli.

Tiga minit memasuki masa tambahan, pertahanan kental Kedah, Renan Alves berjaya menggembirakan penyokong-penyokong pelawat apabila meledak gol ke-4 buat Kedah. Sepakan penjuru Baddrol Bakhtiar tepat menemuinya yang terus menendang deras dan menggegar gawang gol yang dikawal Helmi Eliza Elias.

Tuan rumah terus memburu jaringan ke-4, namun Helang Merah masih kental mengekang dengan baik setiap asakan. Mohamadou Sumareh hampir menyamakan kedudukan di minit ke-106, namun percubaannya itu dihalang kemas Renan Alves di atas garisan gol, selepas penjaga gol, Ifwat Akmal terlebih dahulu sudah tertewas.

Sikap tidak kenal lelah memberikan hasil apabila giliran Pahang pula menekan Kedah apabila pertahanan, Herold Goulon berhasil menyempurnakan sepakan penalti yang diperolehi di minit ke-114 selepas Dickson Nwakaeme dijatuhkan oleh Renan Alves.

Fernando Rodriguez meletak kembali Kedah di depan apabila serangan balas pantas yang digerakkan oleh pemain gantian, Fadzrul Danel, disudahkannya untuk jaringan kelima Helang Merah di minit ke-118. Namun, ini bukan jaringan terakhir perlawanan.

Disaat perlawanan bakal ditamatkan pengadil, Dickson Nwakaeme berjaya meledak gol kelima tuan rumah dan menamatkan pesta jaringan di Darul Makmur dengan keputusan penuh 5-5 dan 8-8 secara agregat membawa Kedah untuk bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas akhir, mengulangi final Piala Malaysia edisi 2017.

Kredit Featured Image: Malaysian Football League

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN