Piala Malaysia 2019: Hatrik Tchetche Kipre Julang Terengganu FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Tchetche Kipre Terengganu FC Piala Malaysia 2019

Tchetche Kipre muncul wira buat Terengganu FC apabila berjaya meledak hatrik untuk membantu pasukannya itu merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut menewaskan Negeri Sembilan 3-1 dalam saingan Kumpulan A, Piala Malaysia 2019, malam tadi.

Perlawanan terlebih dahulu dimulakan dengan sesi bertafakur satu minit bagi memperingati pemergian penjaga gol berpengalaman Sang Penyu, Allahyarham Mohd Suffian Abd Rahman, yang meninggal dunia akibat serangan jantung, petang itu.

Tanpa penjaga gol, Ilham Amirullah yang digantung perlawanan akibat layangan kad merah tempohari, Nafuzi Zain menyenaraikan Wan Azraie Wan Teh di gawang sebagai benteng terakhir dengan Negeri Sembilan turun dengan tiga perubahan kesebelasan utama.

Tchetche Kipre sejak awal sudah menunjukkan keghairahannya dalam perlawanan ini apabila sudah menguji penjaga gawang Negeri Sembilan, Fadzley Rahim di minit ke-7 sebelum kapten, Lee Tuck juga gagal menjaringkan gol pembukaan 10 minit kemudian.

Minit ke-42, walaupun Fadzley Rahim berjaya menafikan percubaan pertama Sanjar Shaakhmedov, namun bola kedua yang didapati Tchetche Kipre di sebelah kiri gawang dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain kelahiran Ivory Coast itu untuk jaringan pertama Terengganu FC – gol ketiga peribadinya dalam Piala Malaysia.

Sebaik babak kedua bermula di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pelawat berjaya mengasak tuan rumah untuk memburu gol penyamaan namun percubaan Izuan Salahuddin hanya melewati palang gol yang dikawal Wan Azraie pada minit ke-51.

Dua minit berselang, Izuan Salahuddin sekali lagi dapat menguji penjaga gol Terengganu FC dengan percubaan tepat namun ianya mudah untuk diselamatkan sebelum percubaan tuan rumah pula berjaya ditumbuk keluar oleh Fadzley Rahim di minit ke-56.

Menerusi sepakan sudut oleh Lee Tuck berpunca daripada save awal yang dibuat penjaga gol Negeri Sembilan, Tchetche Kipre sekali lagi menanduk masuk gol kedua buat tuan rumah.

10 minit kemudian, pelawat berjaya merapatkan jurang gol apabila hasil hantaran pemain gantian, Ridzuan Abdunloh berjaya ditanduk masuk oleh Igor Luiz menewaskan Wan Azraie di gawang.

Tuan rumah kembali bangkit mengasak Negeri Sembilan menerusi tiga percubaan daripada Sanjar Shaakhmedov, Tchetche Kipre dan Lee Tuck namun gagal untuk menambah jurang gol sebelum akhirnya Tchetche Kipre meledak deras gol ketiga Terengganu FC.

Jaringan minit ke-86 tersebut membantu tuan rumah menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-1, kemenangan ketiga buat mereka dalam saingan Piala Malaysia 2019. Kali terakhir Tchetche Kipre meledak hatrik adalah pada Ogos tahun lalu, juga dalam saingan Piala Malaysia ketika membelasah Kuala Lumpur 5-1.

Kredit Featured Image: Terengganu FC