Quantcast

LIGA MALAYSIA

Piala Malaysia 2019: Hati Dan Cinta Saya Masih Di FELDA, Ujar Nidzam Jamil

Pengendali FELDA United, Nidzam Jamil menyatakan dalam sidang media sejurus berakhir perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia 2019 yang beliau dan para pemain akan berehat terlebih sebelum memikirkan perancangan musim hadapan.

Dalam aksi terakhir Kumpulan D, malam tadi, The Fighters tewas 0-2 kepada Selangor seterusnya tersingkir daripada saingan Piala Malaysia. Biarpun tersingkir, FELDA United telah melalui kempen yang baik dengan hampir melayakkan diri ke suku akhir.

FELDA United berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul tujuh mata, hanya satu mata di belakang Melaka United yang layak ke suku akhir dan tiga mata di belakang juara kumpulan, Selangor.

“Saya tidak tahu perancangan musim depan lagi. Jujur saya tidak tahu lagi arah tuju. Saya masih ada kontrak sehingga penghujung tahun ini,” jelasnya sambil menyatakan belum ada perbincangan bersama pihak pengurusan mengenai hala tujunya dan pasukan.

“Kalau tanya mengenai arah tuju saya, saya belum boleh buat keputusan lagi sebab kita mula bekerja pada 5 Disember sampai sekarang belum bercuti. Saya kena bagi budak-budak ini bercuti sebelum mereka ‘gila’ main bola,” tambahnya sambil tertawa.

“Saya perlu berjumpa dengan pihak pengurusan untuk berbincang perancangan musim depan dahulu,” tegas Nidzam Jamil yang mula dilantik pada hujung tahun lalu menggantikan B. Satiananthan.

The Fighters melalui musim ini dengan baik jika dilihatkan bajet pasukan dan pemain-pemain yang dimiliki. Nidzam Jamil telah menaikkan pangkat beberapa pemain muda serta memberikan peluang mereka beraksi sepanjang musim 2019. Antara pemain muda yang telah menjadi tonggak pasukan musim ini seperti Danial Amier Norhisham, Zahril Azri dan Faiz Mazlan.

Dalam saingan Liga Super, FELDA United telah berjaya mengelak penyingkiran, menamatkan musim di kedudukan ke-10 dengan 19 mata. The Fighters juga adalah semifinalis Piala FA musim ini.

“Saya boleh jamin, yang setakat ini, hati dan cinta saya di FELDA,” ujarnya serta menjelaskan beliau pernah berjanji akan membantu pasukan bertahan di liga dan bersaing dalam semua pertandingan.

Kredit Featured Image: FELDA United FC