Piala Malaysia 2019: Dollah Salleh Akui Banyak Terapkan Latihan Percubaan Jarak Jauh

Iklan

Dollah Salleh Pahang Kedah Piala Malaysia

Dua gol Pahang ketika terikat 3-3 menentang Kedah di Stadium Darul Aman pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019 malam tadi adalah dari luar kotak penalti dan menurut pengendali Pahang, Dollah Salleh, ia memang ada dalam perancangan.

Pahang dikecewakan Kedah pada saat-saat akhir apabila pemain gantian, Zaquan Adha yang masuk pada 10 minit terakhir berhasil mencipta jaringan penyamaan menerusi tandukkan di far post.

“Memang dalam latihan kita banyak terapkan perkara itu [cubaan jarak jauh]. Kalau kita tidak boleh masuk kawasan penalti Kedah, kita perlu gunakan pemain tengah untuk membuat percubaan daripada jarak 20 ke 30 meter sebegitu,” kongsinya kepada wartawan di sidang media sejurus perlawanan berakhir.

Dua pemain tengah, Wan Zaharulnizam dan Nor Azam Azih telah meledak gol yang hampir serupa untuk menewaskan Ifwat Akmal daripada jarak jauh untuk membolehkan Tok Gajah selesa memimpin perlawanan sebelum Kedah bangkit mengejar.

Kedah bangkit menerusi dua jaringan Fernando Rodriguez sebelum babak pertama berakhir membolehkan tuan rumah masuk ke bilik persalinan dengan situasi yang lebih baik. Ianya hasil pertukaran awal memasukkan Azamuddin Akil selepas ketinggalan 2-0.

Satu lagi jaringan oleh Pahang adalah menerusi penalti yang disempurnakan oleh penyerang import, Dickson Nwakaeme.

“Kita telah bermain dengan baik, cuma kesilapan kita memberi gol mudah kepada pasukan Kedah. Bahagian pertahanan kita pada hari ini nampak banyak longgar berpunca daripada set-pieces.

“Kita selalu tidak disiplin untuk mengikat pemain lawan [dalam situasi set-pieces],” jelasnya mengenai kekurangan pasukannya pada perlawanan yang jelas dikuasai sepenuhnya Pahang.

“Walaubagaimanapun, saya berpuas hati dengan keseluruhan permainan. Saya berbangga dengan corak permainan yang ditunjukkan pemain pada malam ini. Kita menguasai hampir separuh perlawanan dan dalam 15-20 minit awal kita mencipta banyak peluang menjaringkan gol tetapi gagal manfaatkan.

“Cuma keadaan padang agak becak sedikit, itu yang membuat pemain-pemain nampak agak keletihan hari ini,” tambahnya lagi yang sangat berpuas hati dengan keseluruhan aksi pemainnya.

Pahang membawa pulang bekalan tiga gol di tempat lawan dan aksi di Darul Makmur pasti lebih mudah buat Dollah Salleh. Kedah dan Pahang akan bertemu sekali lagi pada 26 Oktober depan untuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019.

Kredit Featured Image: Arena HijauKuning

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram